TIUB menjadi ‘kenderaan’ dalam aktiviti tubing.
TIUB menjadi ‘kenderaan’ dalam aktiviti tubing.
Hafiz Ithnin


MENELUSURI Sungai Kenerong menggunakan tuib besar atau 'tubing' pastinya suatu aktiviti yang amat menyeronokkan. Apatah lagi, jika ia dilakukan bersama ahli keluarga atau rakan.

Merasai sendiri pengalaman bersama rakan media yang dibawa Tourism Malaysia bagi menerokai aktiviti lasak di sekitar Dabong, Kelantan itu sememangnya satu pengalaman berharga.

Lokasi permulaannya di Pusat Perkelahan Sungai Kenerong, Kampung Stong, Dabong hanya terletak sekitar 15 kilometer (km) dari Pekan Dabong atau lebih dikenali sebagai Jambatan No 5.

KEADAAN sungai yang tenang menjadikan aktiviti begitu santai.
KEADAAN sungai yang tenang menjadikan aktiviti begitu santai.

Operator Strong Adventure & X-Venture (S.O.X), Bukhari Mat berkata, aktiviti itu dimulakan pihaknya di Sungai Kenerong sejak 2014 dan ketika itu kebanyakan pengunjung dalam kalangan warga asing terutama dari Eropah.

Katanya, sejak Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), lokasi itu semakin menjadi tumpuan pengunjung tempatan kerana ia menawarkan aktiviti yang bukan sahaja dapat bersantai seisi keluarga, malah bagi melihat 'tinggalan' bencana banjir di Kelantan khasnya di Dabong pada 2014.

ANTARA peserta Ekspresi Media Kelantan yang menyertai aktiviti tubing di Sungai Kenderong.
ANTARA peserta Ekspresi Media Kelantan yang menyertai aktiviti tubing di Sungai Kenderong.

Ternyata apa yang dikatakan Bukhari atau lebih mesra disapa Mat itu benar kerana ketika penulis bersama rakan media dari Kuala Lumpur melalui Jambatan No 5 itu dapat melihat dengan jelas batang kayu yang masih melekat di bawahnya.

Selain itu, operator aktiviti berkenaan turut mementingkan keselamatan peserta dengan meletakkan dua kakitangan yang berfungsi sebagai penunjuk arah dan penjaga keselamatan untuk lima peserta.

Bukhari berkata, selain itu peserta juga diwajibkan untuk memakai jaket keselamatan ketika melakukan aktiviti tubing meskipun mereka mempunyai pengalaman atau kemahiran berenang.

"Pengunjung boleh menyusuri Sungai Kenerong dengan aktiviti tubing ini sejauh 1.7km atau mengambil masa satu jam setengah. Sebenarnya kami boleh melanjutkan lagi laluan, tetapi kami khuatir mereka bosan. Disebabkan itu, kami mengehadkan hanya tempoh masa berkenaan.

MENELUSURI Sungai Kenderong yang masih cantik di kelilingi kehijauan.
MENELUSURI Sungai Kenderong yang masih cantik di kelilingi kehijauan.

"Dari segi bayaran, seorang kami kenakan caj RM60 dan minimum lima peserta. Kos itu tidak termasuk makan dan minum, tetapi kami boleh mengambil mereka di sekitar Dabong seperti di Stesen Keretapi Dabong," katanya.

Pengalaman penulis melakukan aktiviti itu di Sungai Kenerong sememangnya menarik kerana aliran airnya yang agak tenang dan kadangkala terdapat jeram yang sedikit mencabar dilihat amat sesuai untuk disertai semua lapisan peringkat umur termasuk kanak-kanak.

Bukhari berkata, setakat ini pihaknya mempunyai jaket keselamatan untuk kanak-kanak seawal usia empat tahun dan si kecil itu turut boleh menyertai aktiviti itu sekiranya ibu bapa membenarkan.

"Ia bergantung kepada ibu bapa atau penjaga itu sendiri sama ada ingin membawa anak mereka yang masih kecil atau tidak kerana dari segi keselamatan kami akan cuba sebaik mungkin dengan menyediakan kakitangan yang boleh berada berdekatan mereka dan paling utama mereka memakai jaket keselamatan.

"Selain itu, untuk kanak-kanak kami juga akan melihat kepada keadaan cuaca dan kederasan air terlebih dahulu. Jika hujan atau arus terlalu deras, sudah semestinya aktiviti itu tidak dibenarkan bukan sahaja kepada pengunjung dewasa, malah kanak-kanak," katanya.

GAYA santai di atas tiub ketika aktiviti tubing.
GAYA santai di atas tiub ketika aktiviti tubing.

Bukhari menambah, aktiviti tubing di Sungai Kenderong sememangnya menarik kerana airnya masih dalam keadaan baik dan tidak tercemar memandangkan ia terletak di kawasan huluan.

"Airnya juga agak jernih jika dibandingkan dengan kawasan sungai yang lain. Kadangkala air sungai itu jernih sehingga anda boleh melihat dasarnya. Jadi, disebabkan itu banyak pengunjung dari luar negara sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang datang ke Dabong, gemar melakukan aktiviti ini.

"Selain itu, mereka juga boleh melakukan aktiviti riadah lasak lain seperti menerokai gua atau mendaki gunung di sekitar Dabong yang amat popular iaitu Gunung Stong untuk melihat panorama hijau yang menarik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Oktober 2020 @ 7:00 AM