PENGINAPAN dikelilingi panorama hijau.
PENGINAPAN dikelilingi panorama hijau.
Hafiz Ithnin


BAGI mereka yang gemarkan aktiviti lasak terutama mendaki gunung pasti sudah biasa mendengar Gunung Stong dan Ayam yang terletak di Kampung Jelawang, Dabong, Kelantan.

Di sebalik kemeriahan aktiviti ekopelancongan di daerah berkenaan sebenarnya terdapat sebuah resort yang menawarkan penginapan ala filem manusia genit, The Hobbit seperti di New Zealand. Bezanya, tidaklah mempunyai panorama alp tetapi hutan hujan tropika!

Baru-baru ini penulis berkesempatan bersama Tourism Malaysia menerokai destinasi berkenaan yang sememangnya agak mengujakan kerana di sebalik keindahan Dabong yang penuh kehijauan sebenarnya terdapat lokasi penginapan yang sesuai untuk semua golongan tidak kira pengembara bujang hingga yang berkeluarga. Bahkan, jika bersama kumpulan besar seperti kakitangan korporat juga tiada masalah!

Dinamakan sebagai Jelawang Pipe Resort & Extreme Park, dibuka pada Mac 2019 berkonsepkan tinggal di dalam paip simen yang diubah suai fungsinya kepada penginapan yang selesa. Malah, terletak hanya kurang 15 minit perjalanan menaiki kenderaan dari Stesen Keretapi Dabong.

Diusahakan dua anak muda yang juga adik beradik iaitu Wan Zonnum Al-Masri Wan Abdul Aziz dan kakaknya, Wan Nurul Asyifa Wan Abdul Aziz masing-masing berusia 24 dan 26 tahun.

Wan Zonnum yang lebih selesa disapa Mat berkata, ketika ini terdapat dua jenis bilik iaitu 13 unit penginapan paip simen muat untuk dua orang setiap satunya dan tiga unit 'hostel' berbentuk A muat untuk empat orang.

PENGINAPAN berbentuk A muat untuk empat orang.
PENGINAPAN berbentuk A muat untuk empat orang.

HIASAN dalaman penginapan yang kemas.
HIASAN dalaman penginapan yang kemas.

KEADAAN dalam bilik untuk empat orang.
KEADAAN dalam bilik untuk empat orang.

PENULIS di dalam bilik penginapan konsep paip simen.
PENULIS di dalam bilik penginapan konsep paip simen.

Katanya, konsep penginapan itu adalah pertama seumpamanya di Kampung Jelawang dan mereka mendapat idea apabila melihat konsep penginapan seperti itu dari luar negara yang menawarkan ringkas tetapi selesa untuk didiami.

"Memandangkan musim penularan pandemik Covid-19 ini, kami menetapkan hanya seorang tetamu sahaja yang boleh menginap di dalam paip simen berkenaan dan bagi berbentuk A hanya dua orang sahaja.

"Selain itu, bagi mereka yang ingin menginap, pihak kami juga amat mementingkan prosedur

operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan seperti mengambil suhu badan pengunjung. Selain itu, memandangkan lokasi ini terletak di dalam hutan, kami pastikan keadaan sekitar sentiasa bersih dan aktiviti penyemburan nyamuk turut dilakukan dari

semasa ke semasa," katanya.

Graduan kejuruteraan awam dari UiTM Jengka itu turut berkongsi dengan penulis, dia dan kakaknya memulakan perniagaan di dalam sektor ekopelancongan itu selepas berdepan dengan cabaran untuk mendapat pekerjaan selepas tamat belajar.

Jelasnya, tanah seluas 1.2 hektar milik keluarganya dilihat mempunyai potensi besar untuk dibangunkan sebagai destinasi pelancongan eko kerana kedudukan yang strategik dengan lokasi tarikan aktiviti lasak di sekitar Jelawang seperti menerokai gua, mendaki gunung, melakukan aktiviti tali tinggi dan berkelah.

ANTARA lokasi aktiviti menerokai gua yang hampir.
ANTARA lokasi aktiviti menerokai gua yang hampir.

MERENTASI sungai yang terletak berhampiran resort.
MERENTASI sungai yang terletak berhampiran resort.

SUNGAI yang boleh menjadi tempat perkelahan.
SUNGAI yang boleh menjadi tempat perkelahan.

"Tanah milik keluarga ini sebenarnya adalah tempat perkelahan peribadi kami sekeluarga. Bagaimanapun selepas tamat belajar, saya dan kakak sukar untuk mendapatkan pekerjaan dan merasakan menyertai perniagaan dalam bidang ekopelancongan, apatah lagi dengan adanya aset milik keluarga boleh dimanfaatkan.

"Jadi, kami mengambil masa juga untuk membuat kajian mengenai konsep dan perancangan untuk mengubah dari ladang kelapa sawit kepada tempat penginapan yang selesa," katanya.

Ketika penulis mengunjungi lokasi berkenaan, menariknya terdapat sungai yang hanya terletak di belakang penginapan paip simen itu sahaja iaitu tempat penulis bermalam.

Ertinya, jika membawa anak-anak atau ahli keluarga ke destinasi itu untuk berkelah tidak perlu berjalan jauh kerana begitu dekat untuk aktiviti bermandi-manda.

Tidak sekadar itu, kurang dari lima minit berjalan kaki terdapat operator yang menyediakan perkhidmatan aktiviti tali tinggi, Zip Line yang boleh dilakukan untuk mereka yang gemarkan kegiatan lasak.

Penulis mencuba sendiri pengalaman merentasi sungai yang berada di tepi resort berkenaan dengan Zip Line dengan jarak 180 meter sememangnya menarik dan wajib untuk dilakukan jika anda ke sana!

Tidak sekadar itu, antara kemudahan lain disediakan adalah ruang makan yang agak besar, surau, tandas yang bersih dan paling penting terdapat kawasan lapang yang boleh digunakan untuk pelbagai aktiviti jika terdapat ahli kumpulan yang besar.

Mengenai keselesaan mendiami penginapan berkonsepkan paip simen itu, penulis boleh katakan ia cukup selesa dan paling penting tidak panas kerana di dalamnya dilengkapi kipas.

Meskipun berada di dalam ruang kecil itu, pengunjung tidak perlu risau mengenai sistem pengudaraannya kerana di sebalik bilah kipas terdapat sistem keluar masuk udara yang menjadikan anda boleh bernafas dengan selesa.

Jadi apa lagi? Jom kita sokong industri pelancongan tempatan!

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Ogos 2020 @ 7:01 AM