SHARINI (tengah) bersama dua orang anaknya berharap Mohd Azuan dapat ditemui dalam keadaan selamat selepas enam hari hilang. FOTO Muhamad Lokman Khairi
SHARINI (tengah) bersama dua orang anaknya berharap Mohd Azuan dapat ditemui dalam keadaan selamat selepas enam hari hilang. FOTO Muhamad Lokman Khairi
Muhamad Lokman Khairi


Teluk Intan: "Harap sangat suami saya dapat dijumpai hari ini," luah Sharini Wan Noor, 40.

Sharini adalah isteri kepada Mohd Azuan Buyong, 41, yang hilang selepas jatuh daripada bot pagi Ahad lalu ketika memancing berdekatan Jeti Nelayan Dataran Udang Galah, di sini.

Dalam kejadian 5 pagi itu, Mohd Azuan, 41, dilaporkan hilang manakala rakannya Muhammad Rasin Syazani Sumadi, 25, yang turut terjatuh dari bot dinaiki mereka ditemui selamat.

Muhammad Rasin Syazani diselamatkan sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Teluk Intan, kira-kira 6 pagi Ahad lalu.

Pasukan mencari dan menyelamat menjalankan operasi sejak Ahad lalu dan kini sudah memasuki hari keenam operasi.

Bercerita lanjut, menurut Sharini, dia menerima panggilan daripada polis pada 5 petang Ahad lalu ketika di rumahnya di Seri Kembangan, Selangor bersama dua anak perempuannya.

"Pada awalnya saya sangka polis tersalah orang kerana suami bukanlah seorang kaki pancing. Saya langsung tidak tahu mengenai suami pergi memancing dengan rakan.

"Cuma pada Sabtu lalu, dia beritahu saya yang dia keluar untuk baiki kereta kawannya yang rosak," kata Sharini ketika ditemui di Jeti Pelancongan Pulau Bangau, dekat sini, hari ini.

Anak sulung mangsa, Nur Nabilah Zulaikha Mohd Azuan, 18, berkata, dia terkejut menerima berita kehilangan ayahnya.

"Kami sampai tertanya betul ke itu ayah, sebab ayah memang bukan kaki pancing. Apatah lagi mahu pergi jauh sampai ke sini," katanya.

Bagi kakak Mohd Azuan, Nor Kizira Buyong, 44, adiknya itu disifatkan sebagai seorang adik yang mesra dan ramah dalam kalangan mereka tujuh beradik.

"Saya harap sangat-sangat dapat jumpa dia selamat dan sihat hari ini," katanya.

Sementara itu, Ketua BBP Teluk Intan, Mohd Ismail Mohd Yunus yang juga komander operasi berkata, radius pencarian sudah diperluaskan sehingga 65 kilometer (km) dari lokasi mangsa dipercayai terjatuh.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Disember 2022 @ 5:02 PM