Bomba mengangkat mayat lelaki yang dilaporkan terjatuh dari bot di Sungai Dedap, Teluk Intan. FOTO IHSAN IHSAN BOMBA
Bomba mengangkat mayat lelaki yang dilaporkan terjatuh dari bot di Sungai Dedap, Teluk Intan. FOTO IHSAN IHSAN BOMBA
Noor Hidayah Tanzizi


Teluk Intan: Lelaki yang dilaporkan hilang selepas jatuh daripada bot ketika memancing udang di Sungai Dedap, di sini, semalam ditemui lemas.

Mayat Wan Azila Abdul Aziz , 27, ditemukan pada 2.20 petang hari ini oleh pasukan penyelamat yang menggerakkan operasi sejak lewat petang semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Teluk Intan, Mohd Ismail Mohd Yunus berkata, mayat mangsa ditemui pada jarak 15 meter dari lokasi dia dilaporkan hilang.

"Kita menemui mangsa di tepi tebing sungai, sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya.

Menurutnya, operasi yang turut membabitkan BBP Kampung Gajah, Unit Pengesan K-9 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Pasukan Penyelamat di Air (PPDA), selain polis, Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan penduduk kampung ditamatkan pada 3.15 petang.

Media semalam melaporkan Wan Azila terjatuh ke sungai ketika bot dinaiki bersama abang iparnya cuba mengelak keladi bunting.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 April 2021 @ 4:55 PM