DUA kenderaan yang yang terbabit dalam kemalangan di  Jalan Bentong-Raub remuk.
DUA kenderaan yang yang terbabit dalam kemalangan di Jalan Bentong-Raub remuk.

Pasir Mas: Pasangan suami isteri yang maut dalam kemalangan malam kelmarin, sempat berpesan kepada anak supaya menjaga rumah pusaka mereka.

Pesanan itu diucapkan Mohammad Nur Said, 69, dan Siti Hawa Razak, 57, beberapa kali kepada anak kelima daripada sembilan beradik, Mohd Romli, 31.

Mohd Romli yang ditemui berkata, kedua ibu bapanya seolah-olah menjangka sesuatu bakal berlaku.

“Ibu bapa saya kerap melawat adik beradik lain di Lembah Klang, namun tidak pernah meninggalkan pesanan begitu sepanjang ketiadaan mereka.

“Tetapi sebelum bertolak ke Klang, Selangor, dengan adik, Mohd Azuan, 30, 2 petang semalam (kelmarin) mereka beberapa kali berpesan supaya tidak membiarkan rumah ini.

“Selalunya kalau mereka ke sana (melawat rumah anak di Lembah Klang), mereka tidak pernah pesan apa-apa. Malah, pergi pun hanya seminggu dan pulang seperti biasa,” katanya di kediaman keluarga di Kampung Kolam Baru, To’ Uban, di sini, semalam.

Dalam kejadian itu, Mohammad Nur dan Siti Hawa meninggal dunia, manakala Mohd Azuan patah tangan kiri selepas Perodua Alza dinaiki bertembung bas.

“Mohd Azuan dirawat di hospital sama dan stabil,” katanya yang memberitahu beberapa adik beradiknya yang menetap di Selangor segera ke Hospital Bentong sejurus kejadian bagi urusan menuntut jenazah.

Jenazah kedua-dua mangsa tiba di kediaman mereka di Pasir Mas pada 9.30 pagi semalam dan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Gabus, di sini, jam 3 petang.

Sementara itu isteri, Mohd Azuan, Norsuziana Mohd Rafei, 28, berkata, dia sempat menghubungi suaminya dan meminta Azuan memandu berhati-hati dan berehat sekiranya penat.

“Dia akur dan meminta saya tidak risau. Selepas itu kami tidak berhubung lagi sehingga kemalangan berlaku,” katanya.

Norsuziana yang berpantang anak kedua berkata, dia terkejut dengan kejadian, namun bersyukur suaminya selamat.

“Kali terakhir saya menemui arwah ibu dan bapa mentua pada Isnin lalu sambil membawa bayi, Muhammad Faqih Muqri yang baru berusia 27 hari,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Februari 2016 @ 10:19 AM