Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor melahirkan kekecewaannya dengan sikap seorang pegawai kanan Dewan Bahasa dan Pusaka (DBP) yang tidak hadir ke majlis Anugerah Sastera Darul Aman (ASDA) di sini, malam tadi dengan alasan Kedah kini adalah negeri pembangkang.

Beliau berkata, sebagai agensi kerajaan, DBP tidak wajar mengamalkan amalan 'sihir pemisah' kerana sastera tidak sepatutnya dicampur aduk dengan politik.

"Kekecewaan saya lahirkan kepada Dewan Bahasa dan Pustaka yang tidak hadir ke majlis ini. Saya difahamkan atas alasan kerana negeri Kedah ini negeri pembangkang.

"Tak boleh mereka mengamalkan 'sihir pemisah' kerana politik," " katanya ketika ditemui selepas majlis anugerah berkenaan di Ibu Pejabat MADA di sini, malam tadi.

Muhammad Sanusi berkata, anugerah yang kali pertama diadakan dalam tempoh 47 tahun itu sepatutnya mendapat kerjasama DBP yang berperanan memartabatkan bahasa, seni dan kesusasteraan.

Justeru katanya, beliau sangat berharap agensi kerajaan yang mengawal selia agenda terbabit khususnya penulisan tidak diheret ke kancah politik.

"Dalam sejarah 47 tahun di Kedah. apabila buat pertama kali diadakan Anugerah Sastera Darul Aman untuk penulis, pengkarya sastera dari Kedah.

"Alhamdulillah saya ucap tahniah kepada Angkatan Sasterawan Nasional Kedah (ASASI) yang berjaya menganjurkan majlis ini sebagai satu penghargaan pengiktirafan kepada satu dunia kesusasteraan yang semakin hari semakin dilupakan, kita tidak boleh meminggirkan bidang karya penulisan sastera seni yang begitu tinggi nilainya kepada masyarakat kita," katanya.

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi menyatakan kesediaan kerajaan negeri untuk memberi komitmen dalam anugerah itu pada tahun hadapan dengan peruntukan yang lebih besar berbanding tahun ini.

Katanya, Kedah melahirkan ramai Sasterawan Negara namun lebih banyak mendapat pengiktirafan di negeri lain.

"Insya-Allah tahun hadapan kita akan tambah peruntukan yang lebih daripada tahun ini," katanya.

Pada majlis itu, Osman Ayob dipilih untuk menerima Anugerah Sasterawan Kedah 2022.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Disember 2022 @ 12:58 PM