Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah
BERNAMA

Kuala Lumpur: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat ke Doha, Qatar bagi mengadakan lawatan khas selama enam hari, bermula hari ini.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, lawatan khas itu atas persilaan peribadi Emir Qatar Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani, sempena temasya Piala Dunia FIFA Qatar 2022.

"Selain persilaan menyaksikan perlawanan-perlawanan separuh akhir dan perlawanan akhir temasya ke-22 Piala Dunia FIFA itu, Seri Paduka turut dijadualkan melakukan kunjungan hormat dan pertemuan dengan Sheikh Tamim.

"Seri Paduka turut dijadualkan menerima menghadap beberapa pemimpin kerajaan Qatar dan berangkat menghadiri majlis santapan bersama rakyat Malaysia di Qatar, dalam rangka lawatan khas ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahmad Fadil berkata, Al-Sultan Abdullah dijadualkan berangkat tiba di tanah air pada 19 Disember.

Sebelum ini, persilaan peribadi Sheikh Tamim dipersembahkan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Qatar Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al-Thani, semasa sesi menghadap di Istana Negara pada 12 Ogos lalu.

Al-Sultan Abdullah adalah Anggota Jawatankuasa Eksekutif FIFA dari 2015 hingga 2019.

Bagaimanapun susulan pemilihan Seri Paduka sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada awal 2019, Al-Sultan Abdullah berkenan melepaskan jawatan itu selaras dengan Perkara 34(2), 32(3) dan 32(4) Perlembagaan Persekutuan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Disember 2022 @ 12:43 PM