YANG di-Pertuan Agong (kiri) berkenan menerima menghadap Sheikh Mohammed di Istana Negara. FOTO Bernama
YANG di-Pertuan Agong (kiri) berkenan menerima menghadap Sheikh Mohammed di Istana Negara. FOTO Bernama
BERNAMA

Kuala Lumpur: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima kunjungan hormat menghadap Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Luar Qatar Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al-Thani di Istana Negara, di sini hari ini.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin berkata majlis menghadap itu adalah julung kali buat Sheikh Mohammed yang kini dalam rangka lawatan rasmi ke Asia termasuk Malaysia.

Beliau berkata, dalam sesi menghadap yang berlangsung kira-kira 30 minit bermula 11.30 pagi, Seri Paduka dan Sheikh Mohammed telah menyentuh berkenaan hubungan dua hala yang erat terjalin antara Malaysia dan Qatar sejak 1974.

"Kedua-dua pemimpin turut menyentuh berkenaan usaha pengukuhan perdagangan dan ekonomi antara kedua-dua negara ke tahap yang lebih tinggi termasuk cadangan peningkatan jalinan hubungan ke tahap perkongsian strategik di masa hadapan," menurutnya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan harapan serta mengalu-alukan syarikat-syarikat Qatar untuk terus mengembangkan perniagaan dan pelaburan di Malaysia termasuk dalam bidang pembangunan hartanah.

"Seri Paduka turut menzahirkan bahawa Malaysia bersedia untuk bekerjasama rapat dengan Qatar dalam kerjasama pasca pandemik Covid-19. Ia termasuk kerjasama dalam pembangunan vaksin, ubat antivirus dan perkongsian pengalaman, penyelidikan serta kepakaran," katanya.

Ahmad Fadil berkata pada 2021, Qatar adalah rakan dagangan keenam terbesar Malaysia dan destinasi eksport serta sumber import dalam kalangan negara Asia Barat.

Beliau berkata, walaupun menghadapi cabaran ekonomi akibat pandemik Covid-19, jumlah perdagangan Malaysia dengan Qatar pada tahun yang sama meningkat sebanyak 24.4 peratus kepada US$634.2 juta (RM2.8 bilion).

"Jumlah eksport ke Qatar meningkat sebanyak 31.9 peratus kepada US$359 juta (RM1.6 bilion), manakala jumlah import dari Qatar meningkat sebanyak 15.8 peratus kepada US$275.1 juta (RM1.2 bilion)," katanya.

Majlis menghadap itu turut dihadiri Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah, Ketua Setiausaha Kementerian Luar Datuk Seri Amran Mohamed Zin dan Duta Qatar ke Malaysia Fahad bin Mohammed Kafoud.

Ketika kunjungan hormat itu, Ahmad Fadil berkata Sheikh Mohammed turut menyampaikan persilaan Kerajaan Qatar kepada Al-Sultan Abdullah untuk berangkat menyaksikan Piala Dunia FIFA Qatar 2022 selaku tuan rumah bagi temasya sukan itu yang dijadual berlangsung mulai 20 Nov hingga 18 Dis 2022 di Doha.

"Seri Paduka merupakan Anggota Jawatankuasa Eksekutif Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dari 2015 hingga 2019," katanya menambah Qatar merupakan negara Islam dan negara Timur Tengah pertama dipilih menjadi tuan rumah Piala Dunia FIFA.

Lawatan rasmi Sheikh Mohammed susulan lawatan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ke Qatar pada Mac lepas, serta sebagai persiapan awal untuk Lawatan Negara oleh Amir Qatar Sheikh Tamim bin Hamad Al-Thani ke Malaysia pada 2023.

Sheikh Mohammed turut dijadual mengadakan kunjungan hormat ke atas Ismail Sabri dan beliau juga akan mengadakan pertemuan berasingan dengan Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Ogos 2022 @ 12:49 PM