Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah yakin muafakat Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang dibentuk menerusi kerjasama pelbagai parti termasuk Umno mampu terus dipertahankan sebagai tunjang kerajaan negeri.

Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah, Datuk Hajiji Noor berkata, keyakinan itu berdasarkan kesungguhan dan komitmen ditunjukkan pemimpin semua parti komponen GRS dalam usaha untuk mengukuhkan lagi kedudukan gabungan berkenaan.

Katanya, kekuatan dan kesatuan GRS penting untuk Sabah sebagai landasan bagi memastikan suara dan kepentingan negeri ini dalam persekutuan sentiasa diberi perhatian sewajarnya.

"Hakikatnya, hari ini kita mungkin berada dalam parti politik yang berbeza tetapi hakikatnya kita pernah bersama dalam rumpun yang sama. Muafakat GRS akan menjadi pemangkin untuk kita bersatu dalam satu platform kerjasama untuk kepentingan rakyat, untuk membina tanah air tercinta yang lebih maju dan berjaya.

"Permuafakatan GRS bukan sekadar penting untuk kita di Sabah. Permuafakatan ini amat bermakna untuk membina kesatuan dan kekuatan dalam memastikan kepentingan Sabah terus terbela dalam Persekutuan Malaysia.

"Kita akan dihormati sekiranya kita kuat, bersatu membawa suara serta perjuangan negeri dan rakyat. Ikhtiar kita akan lebih berkesan apabila kita menjadi sebahagian daripada tunjang kekuatan kerajaan persekutuan," katanya pada Majlis Sambutan Ulang Tahun Kedua Bersatu Sabah yang disempurnakan Timbalan Presidennya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, di sini, malam tadi.

DATUK Seri Ahmad Faizal Azumu menerima cendera kenangan daripada Datuk Seri Hajiji Noor (kanan) selepas merasmikan Majlis Sambutan Ulang Tahun BERSATU Sabah Ke-2, malam ini. FOTO Mohd Adam Arinin
DATUK Seri Ahmad Faizal Azumu menerima cendera kenangan daripada Datuk Seri Hajiji Noor (kanan) selepas merasmikan Majlis Sambutan Ulang Tahun BERSATU Sabah Ke-2, malam ini. FOTO Mohd Adam Arinin

Hajiji yang juga Ketua Menteri Sabah, berkata Bersatu Sabah amat menghargai komitmen ditunjukkan semua parti dalam GRS, lebih-lebih lagi Umno Sabah yang sebelum ini menjelaskan pendirian untuk mempertahan GRS dan tidak akan bertembung sesama sendiri pada pilihan raya akan datang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 April 2021 @ 9:02 AM