DEWAN Undangan Negeri (Adun) Johor. FOTO Ihsan MEDKOM
DEWAN Undangan Negeri (Adun) Johor. FOTO Ihsan MEDKOM
Mohamed Farid Noh

Iskandar Puteri: Semua 56 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Johor diingatkan supaya sentiasa berhemah selain perlu melakukan penyesuaian politik susulan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Speaker Dewan Undangan Negeri (Dun) Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, langkah itu berikutan keputusan PRU-15 yang mengejutkan dan di luar jangkaan memerlukan Adun melakukan penyesuaian segera.

Katanya, ia termasuk sentiasa menjaga batas pertuturan dan mengelak menyentuh sentimen perkauman dan agama.

"Terdahulu, saya ingin mengucapkan tahniah kepada pemenang kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Tioman dan Parlimen Padang Serai pada PRU-15 yang tamat semalam.

"Oleh itu, saya menyeru pada semua ahli dewan supaya melakukan penyesuaian politik segera susulan keputusan PRU-15 yang sudah selesai.

"Ahli dewan juga perlu bergerak untuk terus maju ke hadapan dan mengelak sebarang konflik berdasarkan kaum dan agama," katanya sebelum Dun mula bersidang, hari ini.

Malam tadi, Perikatan Nasional (PN) merampas kerusi Parlimen Padang Serai daripada Pakatan Harapan (PH) pada PRU-15 selepas calonnya, Datuk Azman Nasrudin menang dengan majoriti 16,260 undi mengalahkan saingan terdekat, Dr Mohamad Sofee Razak daripada PH.

Azman memperoleh 51,637 undi manakala Mohamad Sofee mendapat 35,377 undi.

Bagi Dun Tioman, calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Johari Hussain pula mengekalkan kerusi untuk penggal keempat pada PRU-15 dengan mendapat 8,080 undi pada pertembungan lima penjuru.

Calon PN, Nor Idayu Hashim mendapati 7,507 undi.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Mac lalu, BN menawan 40 daripada 56 kerusi Dun Johor, PH menang 11 kerusi Dun diikuti PN tiga manakala PKR dan Muda masing-masing satu kerusi.

Kerajaan negeri Johor sebelum ini adalah kerajaan campuran disokong Bersatu yang memiliki majoriti tipis iaitu satu kerusi, dengan 28 kerusi berbanding 27 kerusi di blok pembangkang.

Ia berikutan kematian Adun Kempas Datuk Osman Sapian, yang juga mantan Menteri Besar, pada 21 Disember lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Disember 2022 @ 10:54 AM