TUN Mohd Ali Mohd Rustam menerima watikah pemasyhuran sebagai Canselor Universiti Melaka (UNIMEL) daripada Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali hari ini. FOTO Amir Mamat.
TUN Mohd Ali Mohd Rustam menerima watikah pemasyhuran sebagai Canselor Universiti Melaka (UNIMEL) daripada Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali hari ini. FOTO Amir Mamat.
Amir Mamat


Ayer Keroh: Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam dimasyhurkan sebagai Canselor pertama Universiti Melaka (UNIMEL).

Pemasyhuran Mohd Ali yang juga pengasas kepada penubuhan universiti berkenaan, sejajar dengan pembentukan UNIMEL sebagai sebuah universiti awam pada 10 Februari lalu bagi menggantikan Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM).

Istiadat pemasyhuran itu disempurnakan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali menerusi penyerahan surat lantikan dan watikah kepada Mohd Ali pada hari pertama Istiadat Konvokesyen UNIMEL ke-24 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Turut hadir menyaksikan istiadat berkenaan ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Zaidi Johari serta Naib Canselor UNIMEL, Prof Dr Abdul Razak Ibrahim.

Pemasyhuran itu selaras dengan kesinambungan universiti lain seluruh dunia yang menyaksikan Mohd Ali selaku Canselor diberi kuasa mempengerusikan konvokesyen, melaksanakan apa-apa kewajipan seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Universiti Melaka di bawah Seksyen 30 Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996.

Terdahulu, Istiadat Konvokesyen UNIMEL ke-24 menyaksikan seramai 3,045 graduan menerima diploma dan ijazah masing-masing bagi sesi pembelajaran untuk tempoh tiga tahun iaitu 2020, 2021 dan 2022.

Ia membabitkan tiga graduan Ijazah Doktor Falsafah (PhD), 18 graduan Ijazah Sarjana, 616 Ijazah Sarjana Muda dan 2,408 graduan diploma.

Dalam ucapannya, Sulaiman yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah UNIMEL, berkata pusat pengajian itu bakal menjadi sebuah lagi institusi pendidikan yang penting dalam membangun serta memperlengkapkan modal insan di peringkat tertinggi.

Beliau berkata, graduan yang dilahirkan daripada universiti penuh milik kerajaan negeri itu, mampu menjadi aset kepada pembangunan negara pada masa akan datang.

Selain itu beliau turut menzahirkan keyakinan, UNIMEL berpotensi untuk memainkan peranan utama secara dinamik dan proaktif untuk membangun dan melebarkan sayapnya ke arena tempatan, serantau dan juga global.

"Saya percaya, UNIMEL mampu menawarkan kepakaran ahli akademik kepada dunia dan boleh menjadi pemangkin kepada pembangunan yang lebih mantap pada masa akan datang.

"Sesungguhnya, kerajaan negeri sentiasa memberi perhatian khusus terhadap usaha memperkasa bidang pendidikan dan meletakkannya sebagai agenda utama untuk menjadikan Melaka sebagai hub pendidikan tersohor di negara ini.

"Kerajaan negeri menyedari bahawa pelaburan dalam bidang pendidikan dalam pra syarat yang signifikan bagi mewujudkan sebuah negara yang makmur dan pembangunan rakyat yang sejahtera," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Disember 2022 @ 4:27 PM