TENGKU Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz
TENGKU Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz akhirnya membuka mulut mengenai isu ketidakhadiran beliau pada Mesyuarat Khas Kabinet semalam dan menafikan ia disebabkan menonton perlawanan bola sepak Piala Dunia di Qatar seperti yang didakwa.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) itu menerusi perkongsian terbaru dalam Facebooknya hari ini memberitahu, beliau sebaliknya berada di Emiriah Arab Bersatu (UAE) menyaksikan pemeteraian kerjasama antara Petronas Abu Dhabi Sdn Bhd dan Abu Dhabi National Oil Company (ADNOC).

"Baru saja angkat sumpah jadi Menteri Miti, terus keluar macam-macam fitnah dan fake news (berita palsu). Kononnya saya ponteng Mesyuarat Jemaah Menteri untuk tengok menonton Piala Dunia di Qatar. Pertamanya, saya pergi Abu Dhabi (di UAE), bukan Qatar. Abu Dhabi tiada World Cup (Piala Dunia).

"Keduanya, saya pergi ke Abu Dhabi untuk urusan rasmi, bukan saja-saja nak pergi. Tak dapat hadir Mesyuarat Jemaah Menteri bukan macam ponteng kelas. Rasa tak nak pergi, tak pergi. Mana-mana Menteri yang nak ke luar negeri perlu dapat kebenaran Perdana Menteri (PM) dulu, kalau PM tak lulus, tak boleh pergi," katanya menerusi hantaran itu.

Menurut Tengku Zafrul, kerjasama bersejarah bagi Malaysia dan UAE itu bagi meneroka dan menilai Unconventional Onshore Block 1 yang meliputi kawasan konsesi 2,000 kilometer persegi di wilayah Al Dhafra.

Beliau berkata, pemeteraian perjanjian ini menunjukkan keupayaan bersaing syarikat Malaysia di peringkat antarabangsa.

"Ia juga mencerminkan hubungan rapat dua hala perdagangan Malaysia-UAE dan meningkatkan lagi silaturahim kedua-dua negara.

"Harapan saya adalah untuk melihat lebih banyak syarikat Malaysia berjaya di persada antarabangsa dan membuktikan lagi kebolehan Malaysia sebagai pesaing kelas pertama dalam kalangan pemain industri dunia, Insya-Allah," katanya.

Antara yang hadir menyaksikan detik bersejarah itu adalah Yang Di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Presiden UAE Sheikh Mohamed Zayed Al Nahyan, Menteri Industri dan Teknologi Maju UAE Dr Sultan Ahmed Al Jaber merangkap Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif ADNOC dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas Datuk Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz.

Tengku Zafrul adalah satu-satunya menteri yang tidak hadir pada Mesyuarat Khas Kabinet kali pertama diadakan dan dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, semalam.

Susulan itu, terdapat dakwaan mengatakan beliau berada di luar negara bagi menonton perlawanan bola sepak Piala Dunia yang kini sedang berlangsung di Qatar.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Disember 2022 @ 3:48 PM