YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI.
YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI.
BERNAMA

YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat ke Abu Dhabi National Oil Company (ADNOC), hari ini.

Keberangkatan tiba Seri Paduka di ibu pejabat ADNOC, Corniche Road pada 3 petang disambut Menteri Dalam Negeri Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Ketua Pegawai Eksekutif ADNOC, Dr Sultan Ahmed Al Jaber dan barisan pengurusan tertinggi syarikat itu.

Seri Paduka diiringi Pengerusi Petronas, Datuk Ahmad Nizam Salleh, Duta Malaysia ke UAE Mohd Tarid Sufian dan Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin serta pegawai kanan Petronas dan Istana Negara.

Menurut kenyataan Istana Negara, dalam lawatan itu, Al-Sultan Abdullah diberi taklimat objektif penubuhan dan operasi ADNOC oleh Dr Sultan Ahmed dan pegawai pengurusan tertinggi syarikat itu.

ADNOC ialah syarikat minyak dan petrokimia nasional Abu Dhabi dan syarikat pengeluar minyak ke-12 terbesar di dunia dengan jumlah pengeluaran 3 juta tong minyak sehari.

Lawatan itu antara atur cara Seri Paduka sempena lawatan peribadi empat hari ke Abu Dhabi. Seri Paduka dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berangkat tiba di Abu Dhabi, semalam.

Pada lawatan itu, Seri Paduka turut berkenan menerima sembah taklimat penubuhan dan operasi Mohamed Bin Zayed University of Artificial Intelligence (MBZUAI) serta kursus ditawarkan universiti itu Dr Sultan Ahmed yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah MBZUAI.

MBZUAI ditubuhkan pada Oktober lalu dan pada masa ini beroperasi di ADNOC.

Lawatan Seri Paduka berdua ke Abu Dhabi adalah di atas jemputan peribadi dan sebagai tetamu khas Putera Mahkota Abu Dhabi, Sheikh Mohamed Zayed Al Nahyan, bersempena perlumbaan Formula One Etihad Airways Abu Dhabi Grand Prix 2019, pusingan akhir musim ini yang berlangsung di Yas Marina Circuit, Yas Island, esok.

Pada Isnin, Seri Paduka berdua dijadual berangkat menghadiri majlis sambutan Hari Kebangsaan UAE di Zayed Sports City dan diikuti dengan majlis pertemuan semula (reunion) Akademi Tentera Diraja Sandhurst, United Kingdom yang dianjurkan Sheikh Mohamed Zayed Al Nahyan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Disember 2019 @ 12:46 AM