FOTO Ihsan Instagram Istana Negara
FOTO Ihsan Instagram Istana Negara
BERNAMA

Kuala Lumpur: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat menyaksikan majlis pertukaran dokumen pelaburan tenaga boleh diperbaharui di Malaysia dalam satu majlis di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE), semalam.

Turut berangkat Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Istana Negara dalam catatan di Instagram hari ini memaklumkan pertukaran dokumen itu membabitkan syarikat-syarikat Malaysia dan Kerajaan Pahang dengan Abu Dhabi Future Energy Company PJSC (Masdar), sebuah syarikat tenaga boleh diperbaharui yang berpangkalan di Abu Dhabi.

Syarikat-syarikat Malaysia yang terbabit adalah Tenaga Nasional Berhad, Citaglobal Berhad, Malakoff Berhad, Cypark Resources Berhad, Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang dan Tadau Energy Sdn Bhd.

"Ia susulan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) di antara Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Masdar yang disaksikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa kunjungan beliau ke UAE pada 5 dan 6 Oktober lalu," menurut catatan itu.

Majlis pertukaran dokumen itu berlangsung selepas majlis perasmian Pavilion Malaysia yang disempurnakan Seri Paduka Baginda di Expo City, Dubai, semalam.

Majlis itu turut dihadiri Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad dan Duta Besar Malaysia ke UAE Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin.

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah kini berada di Abu Dhabi bagi lawatan khas sehingga 4 Dis ini.

Lawatan khas itu adalah sempena Persidangan ke-28 Pihak-Pihak Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim (COP28) yang bermula pada Khamis lalu hingga 12 Disember.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Disember 2023 @ 5:49 PM