ANTHONY Loke. FOTO Arkib NSTP.
ANTHONY Loke. FOTO Arkib NSTP.
Samadi Ahmad


Putrajaya:Kerajaan memberi jaminan akan meneruskan projek mega termasuk Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, ia turut membabitkan Projek Laluan Lingkaran Transit Aliran Massa 3 (MRT3) dan Transit Aliran Ringan 3 (LRT3).

Katanya, semua projek berkenaan sudah dimulakan dan tiada masalah untuk diteruskan.

"Pendekatan kerajaan sekarang ialah apa saja projek yang sedang dilaksanakan akan diteruskan, "katanya pada sidang media selepas majlis ramah mesra bersama warga Kementerian Pengangkutan (MOT) di sini hari ini. .

Mengulas mengenai projek ECRL, beliau berkata, projek mega itu akan diteruskan dan ia tidak akan ditangguhkan lagi sama seperti yang dijanjikan ketika berkempen pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.

Katanya, projek itu sudah melalui banyak proses rundingan dan kajian semula termasuk perubahan laluan dan stesen.

"Kita tidak mahu sebarang bentuk penangguhan lagi ke atas projek mega ini dan ia sudah pun dimulakan dan berjalan dengan baik walaupun ada ketikanya kita tidak berapa setuju dalam beberapa perkara dan keputusan yang dibuat, "katanya.

Untuk rekod, projek ECRL sepanjang 665 kilometer itu dianggarkan menelan belanja sebanyak RM50.27 bilion membabitkan jajaran empat negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor.

Projek berkenaan dijangka beroperasi pada Januari 2027 dan boleh menampung 5.6 juta penumpang setahun.

Ia juga boleh memuatkan 440 penumpang bagi satu perjalanan membabitkan enam gerabak dan ketika ini kemajuan keseluruhan projek ECRL berada pada sekitar 35.9 peratus.


Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Disember 2022 @ 2:25 PM