Ahli Parlimen Cameron Highlands Ramli Mohd Nor
Ahli Parlimen Cameron Highlands Ramli Mohd Nor
BERNAMA

Kuala Lumpur: Ahli Parlimen Cameron Highlands Ramli Mohd Nor dicalonkan sebagai Timbalan Speaker Dewan Rakyat, semalam.

Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, pencalonan Ramli mendapat persetujuan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Menurutnya, pencalonan Ramli sebagai Timbalan Speaker Dewan Rakyat itu menjadi detik bersejarah kerana beliau adalah Orang Asli yang pertama dicalonkan bagi jawatan berkenaan.

"YB Ramli Mohd Nor #Ahli Parlimen #Cameron Highlands dicalonkan sebagai Timbalan Speaker #DewanRakyat. Ini suatu sejarah, sebagai Orang Asli yang pertama dicalon," katanya menerusi ciapan di Twitternya.

Ahmad juga memaklumkan bahawa semalam adalah hari terakhir untuk cadangan nama sebelum dibawa ke sidang pada 25 Oktober ini.

Pada 7 Oktober lalu, Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian menarik diri selepas dicalonkan bagi mengisi jawatan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat selepas dikosongkan Datuk Seri Azalina Othman Said yang meletakkan jawatan pada 23 Ogos lalu.

Menurutnya, keputusan untuk menarik diri itu bagi menumpukan usaha dan perhatian kepada tanggungjawabnya sebagai Setiausaha Agung Umno.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Oktober 2021 @ 2:09 PM