KOLEJ Vokasional Keningau. FOTO Google Maps
KOLEJ Vokasional Keningau. FOTO Google Maps
BE25320RNAMA

TIGA guru Bahasa Inggeris Kolej Vokasional (KV) Keningau mencipta sejarah apabila menjadi pasukan sekolah pertama di Sabah memenangi pertandingan antarabangsa ‘Seeds for the Future’ di bawah Inisiatif Pemimpin Muda Asia Tenggara (YSEALI) anjuran kerajaan Amerika Syarikat.

Tiga guru berkenaan iaitu Mohd Al-Khalifa Mohd Affnan, Dr Sirhajwan Idek dan Ibrahim Ismail berjaya membawa pulang geran berjumlah RM45,000 selepas menewaskan 24 pasukan lain yang turut menyertai pertandingan berkenaan.

Keputusan pertandingan itu diumumkan hari ini melalui laman sesawang penganjur, Cultural Vistas, yang berpusat di Washington dan merupakan salah satu sektor di bawah bahagian hubungan serta dasar antarabangsa, Jabatan Negara Amerika Syarikat.

Ketua kumpulan itu, Mohd Al-Khalifa berkata, projek yang dianugerahkan dengan geran ini bertajuk ‘Eureka Hub’ iaitu program latihan dan pertandingan yang berasaskan konsep STEAM (Sains, Teknologi, Kejuruteraaan, Seni dan Matematik).

“Ia mendedahkan pelajar dan guru dengan kemahiran dalam bidang robotik, dron, keusahawanan, rekaan aplikasi telefon mudah alih dan seni grafik dengan kerjasama dari organisasi dan individu luar,” katanya kepada Bernama, di Kota Kinabalu, hari ini.

Menurutnya, projek berkenaan juga bertujuan meningkatkan kemahiran teknologi, kreativiti dan komunikasi pelajar khususnya pelajar kolej vokasional serta mereka yang berada di kawasan pedalaman supaya mereka boleh menghasilkan inovasi yang sesuai dengan kehendak revolusi industri 4.0.

“Pertandingan ini telah berlangsung dalam talian sejak Januari lalu di mana para pemenang telahpun menghadiri bengkel projek pada 5 hingga 6 Feb di Hanoi, Vietnam,” tambahnya.

Mohd Al-Khalifa sebelum ini juga merupakan pemenang anugerah komuniti untuk kewarganegaraan tahun 2020 di Dubai dan Dr. Sirhajwan merupakan pemenang inovasi literasi bagi kelab antarabangsa teknologi dalam pendidikan berpusat di Amerika Syarikat pada tahun 2019.

Ibrahim pula telah mewakili Malaysia ke Korea Selatan pada 2018 melalui program pertukaran guru dan kesemua mereka mengajar Bahasa Inggeris di sekolah berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Mac 2020 @ 5:33 PM