KHAIRY Jamaluddin. FOTO Arkib NSTP/MOHD FADLI HAMZAH
KHAIRY Jamaluddin. FOTO Arkib NSTP/MOHD FADLI HAMZAH
Irwan Shafrizan Ismail

Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan (KKM) sudah mengesyorkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) beberapa prosedur operasi standard (SOP) bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) supaya ia diadakan dalam keadaan 'Covid-19 safe election'.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata dengan situasi Covid-19 negara yang terkawal, KKM berpandangan beberapa sekatan yang dilakukan semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) sebelum ini boleh dilonggarkan termasuk pemakaian pelitup muka dan hak mengundi bagi individu positif Covid-19.

"KKM sudah sediakan cadangan lebih banyak lagi kelonggaran diberikan dan calon bebas untuk jumpa, parti bebas beri ceramah dan tiada sekatan seperti dahulu supaya proses demokrasi ini boleh dijalankan lebih adil kepada semua.

"Begitu juga hak mengundi bagi individu positif Covid-19, yang menjalani pengasingan di rumah, tak kritikal boleh mengundi…mungkin kita sediakan laluan mengundi berbeza, khemah asing, sentiasa pakai pelitup muka maka dengan ini hak mereka mesti dihormati," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Seminar Pengurusan Bencana dan Pelancaran Buku 'An Overview of Disaster Life Support In Disaster Management di sini hari ini.

Khairy berkata, beliau sudah meminta Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Datuk Dr Norhayati Rusli mengadakan perbincangan bersama Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan perkara terbabit dijangka dimuktamad minggu ini.

"SOP itu nanti akan diumumkan SPR. Arahan untuk mengadakan perbincangan mengenai perkara ini dibuat sebelum pembubaran Parlimen," katanya.

Mengulas lanjut Khairy berkata KKM sudah mempertimbangkan isu hak mengundi ini dengan mendalam sebelum mengesyorkan kepada SPR kerana ia termaktub dalam Perlembagaan.

"Sebarang syor yang diberikan kepada SPR turut mengambil kira kepentingan orang ramai supaya tidak dimudaratkan dengan kehadiran pesakit Covid-19.

Ditanya sama ada keputusan mengenai SOP yang dibuat beliau adalah sah memandangkan hanya dianggap 'caretaker', Khairy berkata perkara itu sudah dibincangkan terlebih dahulu sebelum Parlimen dibubarkan.

Dalam pada itu, Khairy berkata lebih 11,000 anggota kesihatan awam sudah dikenal pasti untuk ditugaskan bagi membantu mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di seluruh negara bagi kesiapsiagaan menghadapi Monsun Timur Laut.

Beliau berkata, daripada jumlah itu 6,397 membabitkan anggota pasukan perubatan, 4,688 anggota pasukan kesihatan dan selebihnya anggota Talian Bantuan Perkhidmatan Sokongan Psikososial (MHPSS).

"Sebagai kementerian yang telah dipertanggungjawabkan untuk memberi perkhidmatan kesihatan kepada mangsa banjir, KKM telah mengambil beberapa langkah awal.

Beliau berkata, KKM juga mempunyai seramai 4,263 anggota yang terdiri daripada 1,820 petugas Rapid Assessment Team (RAT) dan 2,443 petugas Rapid Respond Team (RRT) yang akan melaksanakan penilaian dan respons cepat kepada mangsa atau isu membabitkan bencana.

"Berdasarkan data dikumpul daripada Jabatan Kesihatan Negeri, sebanyak 552 daripada 2,891 fasiliti kesihatan KKM berisiko mengalami bencana banjir.

"Mungkin ada masih ingat bencana banjir terburuk yang melanda Kelantan dan negara pada 2014 di mana Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Hospital Kuala Krai dan kebanyakan fasiliti kesihatan KKM ditenggelami banjir dalam tempoh yang agak lama," katanya.

Beliau berkata, KKM juga sudah mengambil inisiatif dengan melakukan pemantauan ubat-ubatan berkala secara mingguan bagi memastikan bekalan sentiasa mencukupi.

"Di samping itu, KKM juga akan menyelaras mobilisasi stok ubat-ubatan semasa banjir bagi stok yang mengalami kekurangan.

"Pemantauan terhadap kes-kes penyakit berjangkit juga akan diberi penekanan khususnya penyakit bawaan air seperti kolera (taun), demam tifoid (kepialu), leptospirosis (kencing tikus) dan hepatitis A.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Oktober 2022 @ 9:35 PM