ANGGOTA polis menjalankan siasatan di lokasi penemuan mayat di Lorong Cempaka, Kampung Sungai Kajang, hari ini. FOTO ihsan polis
ANGGOTA polis menjalankan siasatan di lokasi penemuan mayat di Lorong Cempaka, Kampung Sungai Kajang, hari ini. FOTO ihsan polis
Amirul Aiman Hamsuddin


Tanjong Karang: Polis mengklasifikasikan kes penemuan mayat lelaki dalam kawasan semak di Lorong Cempaka, Kampung Sungai Kajang, di sini, hari ini, sebagai kes bunuh.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.10 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Polis Tanjong Karang dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Hasil pemeriksaan menemukan mangsa berusia 40-an terbaring dengan kesan kecederaan pada kepala.

"Berhampiran mayat mangsa, terdapat sebuah motosikal jenis Modenas dan jarak antara kedua-duanya kira-kira tiga meter," katanya ketika dihubungi, malam ini.

Beliau berkata, pegawai perubatan tiba di lokasi kejadian pada jam 2.30 petang.

"Hasil siasatan mendapati kematian ada unsur jenayah berdasarkan luka pada kepala mangsa.

"Selain itu, lelaki itu juga dipercayai bukan warga negara kerana tiada tanda suntikan BCG," katanya.

Menurutnya, Unit Anjing Pengesan (K9) cuba menjejaki suspek namun tidak menemui sebarang maklumat.

"Siasatan di lokasi kejadian turut dijalankan Unit Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor.

"Pada masa sama, hasil keterangan pemilik motosikal Modenas menyatakan kenderaan itu telah dijual pada 2019 tanpa tukar nama," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK).

Katanya, proses bedah siasat ke atas mangsa akan dijalankan di Hospital Sungai Buloh pada jam 2 petang esok dan siasatan lanjut kes masih dijalankan secara menyeluruh.

Terdahulu, media melaporkan seorang lelaki terkejut apabila objek disangka kain buruk, rupa-rupanya mayat seorang lelaki di kawasan semak.

Mayat itu ditemukan Toriman Marsaid, 66, yang mengayuh basikal selepas selesai minum di sebuah kedai makan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 November 2022 @ 11:33 PM