SHARIFAH  (kiri) bersama Dr Hazli  (tengah) dan Shamsuddin  (kanan) pada  program Sembang-Sembang ASNB pada Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM 2022). FOTO AZRUL EDHAM
SHARIFAH (kiri) bersama Dr Hazli (tengah) dan Shamsuddin (kanan) pada program Sembang-Sembang ASNB pada Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM 2022). FOTO AZRUL EDHAM
Oleh Mohd Khidir Zakaria


Port Dickson: Generasi muda seharusnya bijak merancang kewangan dan tidak mudah terpengaruh dengan pelaburan yang menayangkan simbol kekayaan palsu seperti kereta mewah dan sebagainya.

Penasihat Kewangan, Shamsuddin Abdul Kadir berkata, pelaburan yang menawarkan pulangan besar dalam tempoh singkat biasanya tidak boleh dipercayai dan boleh dikatakan seperti skim cepat kaya.

"Anak muda perlu lebih berhati-hati sekiranya ada individu datang tawarkan pelaburan 'pasti untung' dan menunjukkan simbol kekayaan palsu seperti kereta dan rumah besar.

"Lebih 10 jutawan yang saya kenal tidak pernah menunjukkan kereta yang mereka miliki, malah mereka merasa diri mereka bernilai 'mahal' tidak perlu menunjukkan kekayaan," katanya.

Beliau ditemui pada program Sembang-Sembang Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) sempena Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2022 di sini, semalam.

Program Sembang-Sembang ASNB itu dihoskan oleh selebriti Sharifah Shahirah bersama seorang lagi panel Pengasas dan Pengerusi Alaminda Healthcare Berhad Dr Hazli Zakaria.

Program ini turut dihadiri kira-kira 100 pelajar kolej dan sekolah sekitar daerah Port Dickson.

Shamsuddin berkata, terdapat enam jenis pelaburan yang dibenarkan oleh Bank Negara Malaysia iaitu di bank atau institusi kewangan, anak syarikat bank, insurans atau takaful, pelaburan unit amanah serta koperasi.

Dalam pada itu, tambahnya, hutang boleh dikategorikan kepada dua jenis iaitu hutang membuatkan seseorang semakin miskin dan hutang yang menjadikan seseorang semakin kaya.

"Hutang pinjaman ASB untuk pelaburan misalnya masih relevan di mana faedah daripada simpanan itu boleh memberikan pulangan tinggi, sebaiknya faedah dikumpulkan dalam tempoh 10 tahun.

"Hutang yang berisiko seperti pajak gadai dengan kadar faedah antara sembilan hingga 24 peratus, manakala kad kredit faedah 18 peratus dan boleh meningkat dua kali ganda jika tidak dibayar dalam tempoh empat tahun," katanya.

Sementara itu, Hazli berkata, masalah kewangan yang kronik boleh menjadi punca tekanan mental dan psikiatri.

"Selain merancang kewangan, kita perlu menghargai diri secara berhemat sebagai salah satu bentuk semangat atas usaha atau kejayaan yang dilakukan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 November 2022 @ 9:00 AM