MOHAMMAD Hussin. FOTO Arkib NSTP
MOHAMMAD Hussin. FOTO Arkib NSTP
Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), syarikat pengurusan unit amanah milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB) menerbitkan program 'Sembang-sembang ASNB' di bawah inisiatif Literasi Kewangan ASNB.

Program 12 episod berdurasi 10 minit bertujuan mendidik masyarakat mengenai pengurusan kewangan dan pelaburan berkenaan akan disiarkan oleh RTM.

Ia akan mengupas topik menarik berkaitan pengurusan wang dan pelaburan individu termasuk aliran tunai, hutang, insurans dan perwarisan menerusi perbincangan bersama dan kupasan ahli panel jemputan dari industri kewangan, pelaburan dan industri berkaitan.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif ASNB, Mohammad Hussin berkata, menerusi program ini, ASNB menambah satu lagi sumber informasi mengenai pelaburan dan pengurusan kewangan di bawah teras Literasi Kewangan ASNB.

"Dengan program televisyen baharu yang akan ditayangkan ini, lebih ramai lagi rakyat Malaysia boleh belajar ilmu perancangan kewangan.

"Berdasarkan pengalaman kami ketika menganjurkan seminar dan bertemu orang ramai dalam pelbagai program anjuran ASNB sebelum ini, maklum balas yang diterima ialah kurangnya maklumat mengenai pengurusan wang dan pelaburan untuk membantu mereka mengurus wang dengan lebih baik.

"Menerusi Sembang-sembang ASNB, kami harap orang ramai akan mendapat sedikit panduan bagaimana mereka boleh mengurus wang dan pelaburan dengan berkesan untuk kehidupan lebih selesa," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohammad berkata, ASNB sentiasa mengutamakan pendidikan pelaburan untuk membantu individu membina perancangan kewangan lebih baik.

Menurutnya, kegagalan memahami perkara asas mengenai pelaburan boleh menyebabkan ramai yang hidup dalam hutang, tidak mempunyai harta atau masih perlu bekerja selepas bersara.

"Sebagai contoh, masih ramai yang tidak faham mengenai asas risiko dan pulangan sehingga menyebabkan mereka mudah melabur dalam pelbagai jenis skim pelaburan yang menjanjikan pulangan tinggi, tanpa menyedari bahawa mereka juga perlu menanggung risiko tinggi.

"Terlalu banyak skim pelaburan mempromosikan pulangan tinggi tetapi maklumat risiko yang perlu ditanggung tidak didedahkan sepenuhnya," katanya.

Program Sembang-sembang ASNB akan mula bersiaran di TV1 RTM pada 1.45 tengah hari setiap Isnin, Selasa dan Rabu mulai esok.

Siaran ulangan akan disiarkan di TV Okey bermula 13 Ogos ini, setiap Jumaat hingga Ahad pada 2.15 petang.

Program ini juga akan dimuat naik di Facebook dan YouTube Sembang-sembang ASNB serta laman web ASNB pada Khamis setiap minggu bermula 5 Ogos ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Ogos 2021 @ 7:36 PM