ANGGOTA bomba dan MPKS membersihkan lokasi runtuhan tanah di Bukit Malawati. FOTO Ihsan Bomba
ANGGOTA bomba dan MPKS membersihkan lokasi runtuhan tanah di Bukit Malawati. FOTO Ihsan Bomba
Amirul Aiman Hamsuddin


Kuala Selangor: Kejadian runtuhan tanah di pusat pelancongan Bukit Malawati, di sini, hari ini, dipercayai berpunca daripada pokok berusia 50 tahun yang tumbang akibat hujan lebat disusuli angin kencang.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Malawati Juwairiya Zulkifli berkata, terdahulu beliau menerima maklumat kejadian berlaku sekitar kira-kira 7 pagi yang disaksikan seorang pekerja Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang mahu melakukan tugasan pemantauan.

"Kejadian itu menyebabkan hakisan dan pergerakan tanah. Berkemungkinan juga akibat musim hujan sejak kebelakangan ini menyebabkan keadaan tanah tidak stabil.

"Selain itu, faktor pokok yang sudah uzur dan perlu ditebang lebih awal bagi mengelak kejadian seperti ini," katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Sehubungan itu, Juwairiya berkata, anggota bomba, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan skuad Pantas Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) giat menjalankan pembersihan.

Bagaimanapun katanya, buat masa ini pusat pelancongan Bukit Malawati ditutup bagi tujuan pembersihan dan baik pulih demi keselamatan pengunjung.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 November 2022 @ 5:53 PM