Ekhwan Haque Fazlul Haque dan Muhamaad Razis Ismail

Kajang: Datuk Seri Anwar Ibrahim bergerak menuju Istana Negara bagi menghadiri Istiadat Pengurniaan Suratcara Perlantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia, petang ini.

Anwar keluar dari kediamannya di Sungai Long 4.05 petang diiringi pasukan polis.

Beliau yang memakai baju Melayu hitam sempat melambai kepada wartawan dan penyokong yang menunggu di pekarangan kediamannya.

Turut menaiki kenderaan sama isterinya Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail yang dlihat memakai baju kebaya.

Beberapa pimpinan PKR turut kelihatan.

Laungan reformasi kedengaran sebaik bakal perdana menteri itu keluar dari kediaman.

Penyokong Pakatan Harapan sudah mula berkumpul di kediaman Pengerusi PH itu sejak 3.30 petang tadi.

Laluan keluar masuk ke kawasan itu juga kini dikawal anggota polis.

Anwar dijangka mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-10 di Istana Negara, 5 petang ini.

Terdahulu, Istana Negara dalam kenyataan memaklumkan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melantik Ahli Parlimen Tambun itu sebagai Perdana Menteri ke-10.

Ini sekaligus menoktahkan penantian Anwar selama 25 tahun untuk menjawat jawatan utama itu.

Anwar dijangka akan mengadakan satu sidang media khas selepas selesai istiadat di Istana Negara petang ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 November 2022 @ 4:21 PM