ANGGOTA bomba membantu mengeluarkan mayat mangsa. FOTO ihsan Bomba
ANGGOTA bomba membantu mengeluarkan mayat mangsa. FOTO ihsan Bomba
Juwan Riduan


Papar: Dua lelaki maut manakala seorang lagi terselamat selepas terkena renjatan elektrik ketika cuba membaiki lampu jalan di Apartment Bukit Melinsung, di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 8 pagi itu, dua mangsa masing-masing berusia 54 dan 61 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.25 pagi.

Katanya, sepasukan 11 anggota dan pegawai bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikerah ke lokasi kejadian.

"Mengikut laporan, tiga lelaki terkena renjatan elektrik ketika sedang membaiki lampu jalan.

"Pasukan bomba terus bertindak mengeluarkan mangsa selepas bekalan elektrik diputuskan oleh pihak Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB)," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, seorang mangsa dilaporkan terselamat dan dua orang mangsa lagi disahkan meninggal dunia oleh pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Katanya, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

"Pasukan bomba terus melakukan pemeriksaan akhir bagi memastikan tiada kemerbahayaan lain sebelum operasi tamat sepenuhnya pada jam 9.51 pagi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 November 2022 @ 11:46 AM