DATUK Anuar Mohamed meninjau kawasan parit berdekatan rumah Nazatul Simah. FOTO Muhamad Lokman Khairi
DATUK Anuar Mohamed meninjau kawasan parit berdekatan rumah Nazatul Simah. FOTO Muhamad Lokman Khairi
Muhamad Lokman Khairi


Lumut: Walau menerima tempias pembangunan pesat bandar ini sebagai kawasan pelancongan maritim, masalah banjir di Kampung Padang Tembak, di sini masih membelenggu penghuninya.

Selasa lalu, ada penduduk kampung itu yang diuji apabila kediaman mereka dilanda banjir pada jam 2 pagi.

Ibu tunggal, Nazatul Simah Jahaya, 40, berkata, kejutan awal pagi itu menyebabkan dia dan dua anak tidak senang duduk kerana bimbangkan keselamatan mereka.

"Air parit di belakang rumah kalau sudah melimpah, turut membawa sekali lintah dan sisa lain.

"Kasihan anak-kanak, ketika orang lain nyenyak tidur, kami pula menangis, bergelut menyelamatkan barang mana yang boleh," katanya ketika ditemui.

Meskipun banjir surut semalam, katanya, mereka masih berjaga-jaga dan terpaksa membersihkan sisa banjir.

Dakwanya, sebelum ini, rumah didiaminya jenis bertiang tinggi, namun diroboh dan dibina semula secara 'landed' pada 2009 bersama jaminan tidak akan berdepan bencana kerana ditambak tanah merah.

"Malangnya lain yang jadi apabila banjir tetap berlaku. Ini tanah tinggalan keluarga dan kami nak pindah ke mana lagi," katanya yang memberitahu rumah ibu saudaranya yang terletak di hadapan kediamannya turut berkeadaan sama.

Nur Haliza, 44, pula berkata, hujan lebat berterusan cenderung mengakibatkan banjir, namun akan mengambil masa tiga jam sebelum memasuki rumah.

"Namun kini, 40 minit sahaja air melimpah ke dalam rumah," katanya.

Terdahulu, mangsa banjir itu menerima kunjungan Panglima Pendidikan dan Latihan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Laksamana Muda Datuk Anuar Mohamed yang menyampaikan sumbangan bersama Persatuan Kepolisan Komuniti dan membantu membersihkan kediaman.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 November 2022 @ 6:52 PM