SEBUAH kedai makan terjejas susulan banjir kilat pada awal pagi di Kampung Padang dan Tanjong Kala, Gerik. FOTO Ihsan Penduduk.
SEBUAH kedai makan terjejas susulan banjir kilat pada awal pagi di Kampung Padang dan Tanjong Kala, Gerik. FOTO Ihsan Penduduk.
Mohd Rashidi Yusuf.


Gerik: Bukan hanya kawasan Larut, Matang dan Selama (LMS) yang dilanda banjir, hujan lebat semalam, turut mengakibatkan lebih 30 keluarga di Kampung Padang dan Kampung Tanjung Kala, di sini terjejas banjir kilat pada awal pagi tadi.

Bagaimanapun, tiada pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka berikutan air mulai surut beberapa jam selepas itu.

Penduduk Halim Jahaya, 53, berkata, dia sedang tidur apabila terjaga pada 3 pagi susulan limpahan air Sungai Kenderong dan Sungai Hangai memasuki rumahnya hampir satu meter.

Katanya, dia dan isterinya segera berkemas dan menyelamatkan barang dalam rumah kerana tidak menyangka berlaku banjir disebabkan hujan lebat yang berlarutan hanya di bahagian hulu sungai.

"Kawasan kami hanya hujan renyai sahaja. Saya dan anak terpaksa berjaga kerana bimbang jika banjir semakin buruk.

"Kami berkemas dan memantau keadaan air. Syukurlah banjir semakin surut dan tidak perlu berpindah," katanya ketika dihubungi.

FOTO Arkib NSTP
FOTO Arkib NSTP

Halim memberitahu, setiap tahun kampung itu akan berhadapan bencana sama yang banyak memusnahkan perkakas rumah terutama barang elektrik.

Seorang lagi mangsa, Muzafarizal Abd Murad, 48, berkata, dia sembilan beranak tidak tidur hingga Subuh kerana bimbang banjir semakin buruk.

"Ini kali kedua banjir berlaku tahun ini selepas pertama kali pada April lalu," katanya yang mengakui fenomena itu sudah dihadapi sejak berbelas tahun menetap di kampung itu.

Di Kampung Tanjung Kala, enam sekeluarga turut berwaspada susulan banjir di rumah mereka kurang satu meter.

Dalam pada itu, penduduk sentiasa berhubung dengan pasukan penyelamat dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gerik yang melakukan pemantauan terhadap banjir itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 November 2020 @ 10:56 AM