MOHAMAD Hasan ketika menyampaikan ucapannya pada Program Tok Mat Bersama Masyarakat di Kampung Kundur Hulu, Pedas. FOTO AZRUL EDHAM
MOHAMAD Hasan ketika menyampaikan ucapannya pada Program Tok Mat Bersama Masyarakat di Kampung Kundur Hulu, Pedas. FOTO AZRUL EDHAM
Mohd Amin Jalil


Rembau: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak akan dilantik sebagai Perdana Menteri sekiranya BN menang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), Sabtu ini.

Menegaskan perkara itu, Timbalan Pengerusi BN yang juga calon BN Parlimen Rembau, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, Umno sudah membuat keputusan calon Perdana Menteri ialah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Katanya, pelantikan Perdana Menteri terletak kepada budi bicara Yang di-Pertuan Agong.

"Jangan diragukan lagi (mengenai pelantikan Perdana Menteri). Tapi terpulang kepada budi bicara Yang di-Pertuan Agong. Kita hanya boleh mencadangkan saja.

"Seperti di Johor, kita mencadangkan nama Datuk Seri Hasni Mohammad kekal sebagai Menteri Besar, tetapi Sultan Johor mahukan orang lain," katanya ketika berceramah di Bilik Gerakan Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kundur dekat sini, malam tadi.

Mohamad yang juga Pengarah Pilihan Raya BN berkata, Pakatan Harapan (PH) dilihat secara berterusan memainkan isu berkenaan kerana mereka tiada modal lain untuk mengelirukan rakyat.

Beliau berkata, mereka suka memomokkan rakyat yang BN akan melepaskan pemimpin tertentu daripada pendakwaan sekiranya BN menjadi kerajaan.

"Semasa 60 tahun BN mentadbir negara, berapa banyak pemimpin kita yang masuk penjara? Begitu juga ketika Ismail Sabri menjadi Perdana Menteri pun kita tidak campur tangan kes Datuk Seri Najib (Razak).

"Tapi sebaik saja PH memerintah negara, mereka lantik Tommy Thomas sebagai Peguam Negara dan kerja pertama dilakukan ialah melepaskan Lim Guan Eng walaupun kes beliau ketika itu sedang didakwa.

"Ada juga pemimpin mereka yang dikenakan hukuman penjara 18 bulan tetapi ditukar kepada berkelakuan baik 20 bulan," katanya.

Mohamad berkata, rakyat dijangka sudah membuat keputusan parti mana yang akan mereka undi walaupun masih tinggal dua hari lagi tempoh berkempen.

"Rakyat sudah meluat dengan keadaan yang berlaku pada negara selepas PRU-14," katanya.

Semalam, Ismail Sabri menegaskan bahawa Ahmad Zahid yang juga Presiden Umno tidak akan dicalonkan sebagai Perdana Menteri sekiranya BN menang PRU-15.

Perdana Menteri turut menegaskan isu berkenaan sepatutnya tidak timbul kerana ia sudah diputuskan secara tuntas dalam Umno termasuk di peringkat Perhimpunan Agung Umno (PAU) atau Majlis Kerja Tertinggi (MT).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 November 2022 @ 2:28 PM