Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Keputusan penggabungan Barisan Nasional (BN) dengan Pas selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) bagi membentuk kerajaan hanya boleh diputuskan di peringkat Majlis Tertinggi (MT) parti dan bukannya secara bersendirian.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, demikian bagi mengulas berhubung kenyataan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang menyatakan keyakinan bahawa kedua-dua parti itu akan bergabung selepas PRU-15.

Menurutnya, keputusan untuk bergabung atau tidak hanya akan difikirkan selepas PRU-15 selesai dilaksanakan.

"Jika ada cadangan untuk bergabung kita akan bawa ke dalam MT parti.

"Seperti saya kata nak gabung dengan parti apa sekali pun mesti diputuskan MT malah saya difahamkan Presiden Bersatu (Tan Sri Muhyiddin Yassin) tidak berpuas hati dengan kenyataan dibuat oleh Pas," katanya ketika ditemui media malam ini selepas program Jelajah Santai Anak-anak Keramat Bersama Datuk Seri Johari Ghani di Padang Permainan Sri Perlis 2, di sini.

Ismail Sabri berkata, Pas sebuah parti besar dan lebih awal daripada Bersatu.

"Sepatutnya Pas lebih dominan dan ada kuasa sendiri sebab sebagai komponen dia sepatut ada suara tetapi saya nampak apabila Pas buat pandangan sendiri sentiasa dikritik Presiden Bersatu," katanya.

Terdahulu media melaporkan Perikatan Nasional (PN) yakin dapat membentuk kerajaan hasil gabungan dengan parti lain, terutama Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Takiyuddin dilaporkan berkata, beliau menjangkakan BN akan menerima penggabungan itu.

Bagaimanapun Muhyiddin menafikan parti itu akan bergabung dengan BN seperti yang didakwa Takiyuddin.

"Saya sebagai Pengerusi Perikatan Nasional tidak pernah memberi mandat kepada Takiyuddin untuk berunding dengan BN bagi tujuan membentuk kerajaan selepas PRU-15," katanya.

ISMAIL Sabri bersalaman dengan Johari pada program Jelajah Santai Anak-anak Keramat Bersama Datuk Seri Johari Ghani di Padang Permainan Sri Perlis 2, di sini. FOTO Asyraf Hamzah
ISMAIL Sabri bersalaman dengan Johari pada program Jelajah Santai Anak-anak Keramat Bersama Datuk Seri Johari Ghani di Padang Permainan Sri Perlis 2, di sini. FOTO Asyraf Hamzah

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 November 2022 @ 1:13 AM