MAHDZIR (kiri) ketika mengadakan perjumpaan dengan warga Kolej MARA Kuala Nerang. FOTO Noorazura Abdul Rahman
MAHDZIR (kiri) ketika mengadakan perjumpaan dengan warga Kolej MARA Kuala Nerang. FOTO Noorazura Abdul Rahman
NoorazuraAbdul Rahman

Kuala Nerang: Panggilan Yang Berhormat (YB) bagi merujuk kepada wakil rakyat di negara ini wajar ditukar kepada Yang Berkhidmat seiring dengan peranan dan tanggungjawab mereka yang sebenar.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, panggilan itu akan memberi lebih kesedaran kepada setiap wakil rakyat tentang amanah yang dipikul mereka.

"Panggilan Yang Berkhidmat itu lebih tepat bagi menggambarkan rekod perkhidmatan setiap wakil rakyat. Jika perkara itu dilaksanakan, orang ramai juga boleh menilai seseorang wakil rakyat dengan panggilan Yang Berkhidmat yang disandang individu berkenaan.

"Yang berkhidmat ini perlu sedar bahawa mereka memiliki dua tugas untuk dilaksanakan iaitu membuat dasar di Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) serta memberi khidmat kepada rakyat.

"Jadi dalam tempoh lima tahun itu, rakyat bolehlah menilai sama ada Yang berkhidmat itu benar-benar berkhidmat di kawasan mereka," katanya kepada pemberita selepas Walkabout@Kolej MARA di sini, hari ini.

Dalam pada itu, penyandang kerusi Parlimen Padang terap itu berkata, dakwaan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli kononnya Pakatan Harapan (PH) semakin menghampiri 100 kerusi Parlimen untuk dimenangi dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) hanya sekadar perang psikologi untuk menarik sokongan pengundi.

Katanya, perkara itu bukan satu yang asing bagi parti pembangkang membuat perkiraan berdasarkan potensi kawasan untuk parti mereka menang.

"Bagi saya apa yang Rafizi cakap itu hanya perang psikologi semata-mata. Kita pun Barisan Nasional (BN) kita pun buat kiraan juga, di mana parti kita menang dan di mana parti kita tak menang.

"Yang tak menang kita kata tak menanglah tempat itu. Tapi ada tempat yang kita boleh menang, jadi kiraan kita Alhamdulillah BN pun seperti mana Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebut, Insya Allah BN boleh menubuhkan kerajaan Persekutuan," katanya.

Kelmarin Rafizi dilaporkan mendakwa PH kini menghampiri untuk memenangi 100 kerusi Parlimen ketika kempen PRU-15 berbaki empat hari.

Malah kata beliau, PH turut berkeyakinan mencatat kemenangan besar di keempat-empat buah negeri kubu kuat mereka iaitu di Pulau Pinang, Selangor, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 November 2022 @ 1:34 PM