MAHDZIR ketika sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Wanita UMNO Padang Terap di Pusat Komuniti Padang Gerasak, Naka. FOTO Noorazura Abdul Rahman
MAHDZIR ketika sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Wanita UMNO Padang Terap di Pusat Komuniti Padang Gerasak, Naka. FOTO Noorazura Abdul Rahman
Noorazura Abdul Rahman

Padang Terap: Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) dijangka akan diadakan tidak lama lagi iaitu antara April hingga Jun tahun ini.

Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, kerajaan sekarang tidak boleh menunggu terlalu lama berikutan perbezaan yang terlalu kecil di Dewan Rakyat.

Katanya, pelbagai kemungkinan boleh berlaku apabila terdapat perkara membabitkan kepentingan rakyat yang memerlukan undian dalam kalangan ahli dewan.

"Dalam keadaan kita cuma mendapat 111 undian berbanding 108 ketika meluluskan Belanjawan 2021 baru-baru ini, kita perlu sedar betapa margin antara kerajaan dan pembangkang terlalu tipis.

"Macam-macam boleh berlaku sekarang, jadi kerajaan tidak boleh tunggu terlalu lama untuk mengadakan PRU. Bersandarkan keadaan semasa, saya menjangkakan PRU-15 akan diadakan antara April hingga Jun depan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Wanita Umno Padang Terap di Pusat Komuniti Padang Gerasak, Naka di sini, hari ini.

Semalam media melaporkan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof berkata, beliau menjangkakan PRU-15 akan diadakan menjelang tempoh akhir iaitu pada 2023.

Ini kerana katanya, kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin kini berada dalam kedudukan yang stabil terutamanya selepas sesi Parlimen lalu.

Mahdzir yang juga Ahli Parlimen Padang Terap bagaimanapun menganggap kenyataan Redzuan itu mungkin hanya pandangan peribadi Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas).

"Sehari sebelum Parlimen ditangguhkan baru-baru ini, Perdana Menteri sendiri membuat kenyataan akan mengadakan PRU-15 dalam masa terdekat.

"Kenyataan itu dibuat selepas Belanjawan 2021 diluluskan dengan beliau turut bertemu dengan kami, kalangan Ahli Parlimen. Jadi saya menjangkakan PRU-15 mungkin akan berlaku pada tahun ini juga," katanya.

Ketika ditanya mengenai pengagihan kerusi, Mahdzir berkata, jawatankuasa yang membincangkan perkara itu diharap dapat menghormati keputusan Ahli Majlis Tertinggi Umno yang mahu supaya mana-mana kerusi dimenangi parti itu termasuk yang wakil rakyatnya melompat ke parti lain akan tetap diserahkan kepada Umno.

"Wakil rakyat yang melompat ke parti lain ini pun dulu menang atas tiket Umno. Maka kerusi itu juga perlu dikira sebagai hak Umno," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 January 2021 @ 4:23 PM