Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (tengah) ketika beramah mesra dengan orang ramai pada majlis ramah mesra bersama keluarga FELDA Lasah. FOTO BERNAMA
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (tengah) ketika beramah mesra dengan orang ramai pada majlis ramah mesra bersama keluarga FELDA Lasah. FOTO BERNAMA
Oleh Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Sejak memperkenalkan frasa Keluarga Malaysia dalam ucapan sulungnya sebagai Perdana Menteri pada 22 Ogos 2021, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak pernah mengenal erti lelah mengajak seluruh rakyat dan kepemimpinan tanpa mengira idealogi politik untuk memulihkan semula keadaan negara.

Pensyarah Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Madya Dr Mohd Izani Mohd Zain berkata, pendekatan gagasan Keluarga Malaysia menterjemahkan realiti kehidupan masyarakat yang masing-masing mempunyai keluarga.

Beliau berkata, Keluarga Malaysia juga menawarkan nilai-nilai murni yang baik untuk diamalkan seperti nilai kasih sayang, empati dan kemanusiaan.

"Konsep Keluarga Malaysia suatu pendekatan walaupun adalah top down atau atas ke bawah daripada kerajaan namun ia juga bersifat bawah ke atas kerana dekat dengan masyarakat.

"Keluarga Malaysia juga suatu langkah kerajaan memperkukuh perpaduan rakyat kerana sejak kebelakangan mutakhir ini bibit-bibit perpecahan semakin ketara akibat perbezaan fahaman politik.

"Namun terbukti rakyat Malaysia boleh bekerjasama melawan pandemik Covid-19 sebelum ini dan semangat kerjasama itu dilanjutkan melalui konsep Keluarga Malaysia," katanya.

Beliau berkata, kestabilan Malaysia bermula dengan kestabilan dalam masyarakat yang menjiwai semangat Keluarga Malaysia.

Mohd Izani berkata, penghayatan Keluarga Malaysia perlu diteruskan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) kerana ia adalah konsep yang baik dan bermatlamatkan perpaduan.

"Pendekatan gagasan Keluarga Malaysia juga menggambarkan nilai positif ikatan yang kukuh antara rakyat Malaysia dan keakrabannya umpama air yang dicincang tidak akan putus.

"Ia adalah nilai kasih sayang perlu dizahirkan dan diperkukuhkan terutama sewaktu kita berada dalam keadaan sukar dengan memberikan empati tinggi yang sentiasa menjaga antara satu sama lain," katanya.

Menurutnya, sebagai satu Keluarga Malaysia yang menjalani kehidupan susah senang bersama dan keluargalah juga yang akan dicari bergantung harap untuk berkongsi waktu senang atau berganding bahu berhadapan dugaan ketika berada dalam kesusahan.

Apa pun, katanya, kira-kira 15 bulan konsep diterapkan dalam Keluarga Malaysia itu membibitkan sifat sebagai satu keluarga yang perlu bertolak ansur antara satu sama lain kerana mungkin ada dalam ahli keluarga yang berbeza pandangan.

Penganalisis politik Universiti Sains Malaysia (USM) Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian berkata, konsep Keluarga Malaysia jelas merentasi jalur etnik, agama, kelas golongan dan persempadanan negeri.

"Ia juga bertujuan merapatkan jurang intra-etnik dan inter-etnik. Kekuatan perlu dibina walaupun pada perbezaan dan bagaimana ia bukan penghalang tetapi aset untuk proses kestabilan, keamanan, keselamatan sosial dan kesejahteraan.

"Pelaksanaan yang baik jika disempurnakan pelaksanaannya dengan kerjasama semua pihak dalam kerangka diukir Keluarga Malaysia perlu mencapai koordinasi antara yang merangka, pelaksana dan kumpulan sasar supaya hasil akhirnya mendapat terbaik khususnya untuk penduduk di negara ini," katanya.

Beliau berkata, sebagai contoh insiatif Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) adalah antara bantuan paling dominan di bawah gagasan Keluarga Malaysia untuk membantu dan meningkatkan taraf hidup sewaktu sebahagian daripada masyarakat dibelenggu dengan kesempitan hidup.

Katanya, BKM dianggap penyuntik kepada persekitaran yang berubah dan bantuan itu datang tepat pada masanya ketika golongan sasar yang berkenaan memang sedang memerlukannya.

BKM adalah inisiatif bantuan tunai langsung tertinggi dalam sejarah. Ketua Isi Rumah (KIR) yang berpendapatan bawah RM2,500 dengan anak lebih lima orang mendapat bantuan RM2,500.

Ismail Sabri yang mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri kesembilan pada 20 Ogos 2021 di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara, dalam ucapan sulungnya dua hari selepas memegang jawatan dipetik berkata, beliau menggunakan pendekatan Keluarga Malaysia kerana frasa ini sifatnya lebih inklusif merentasi sempadan agama, bangsa dan kaum.

"Seluruh Keluarga Malaysia yang dikasihi. Kita adalah sebagai satu keluarga tanpa mengira agama, bangsa dan kaum. Setiap daripada anda adalah seperti keluarga saya sendiri-sama ada anak muda, mahupun yang telah berusia. Kita diibaratkan saling melengkapi, umpama anggota tubuh yang saling memerlukan," katanya dipetik daripada ucapan sulung beliau kepada umum sebagai Perdana Menteri yang dipancarkan secara langsung di televisyen, radio dan media sosial.

Beliau mengambil alih jawatan utama kerajaan itu ketika situasi negara masih belum pulih sepenuhnya daripada pandemik Covid-19 hingga mengganggu ekonomi selain ketidaktentuan politik berlarutan selepas Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 November 2022 @ 7:15 AM