GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Noor Mohamad Shakil Hameed

Kestabilan politik dan kerjasama baik antara semua parti adalah dua faktor penting yang banyak mempengaruhi aspek perpaduan nasional serta kemajuan negara. Justeru, sudah tiba masanya ahli politik negara ini berlapang dada dan berjiwa besar menerima kerjasama rentas parti sebagai wadah politik baharu demi memperkasakan perpaduan nasional di bawah naungan payung besar dikenali sebagai Keluarga Malaysia.

Frasa Keluarga Malaysia yang diilhamkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob perlu dihayati sepenuhnya oleh anggota masyarakat, khususnya ahli politik kerana nilai-nilai kekeluargaan yang lazimnya mengikat kita seperti kepercayaan, tolak ansur, kasih dan sayang serta keprihatinan antara satu sama lain mampu mengukuhkan jambatan perpaduan sekali gus melindungi rakyat dan memulihkan negara.

Jika semua ahli politik mampu mewujudkan kerjasama rentas parti dengan mengamalkan budaya politik matang dan profesional, kita boleh membina sebuah Keluarga Malaysia yang bersatu padu dan utuh. Ia tidak mustahil untuk berlaku apabila pihak kerajaan sudah membuka langkah dengan menawarkan tujuh tawaran Transformasi Parlimen dan Pentadbiran demi mengembalikan kestabilan politik, mengukuhkan perpaduan rakyat serta memperkasakan tadbir urus kerajaan sekali gus menangani wabak Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara.

Antara tawaran kerajaan ialah, pindaan Perlembagaan Persekutuan untuk mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun, Rang Undang-Undang Anti-Lompat Parti akan dibentangkan di Parlimen, keseimbangan keanggotaan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen membabitkan Ahli Parlimen Kerajaan dan Ahli Parlimen Pembangkang, setiap Rang Undang-Undang termasuk Rang Undang-Undang Perbekalan yang dibentangkan di Parlimen akan dirunding dan dipersetujui secara bersama serta ahli parti pembangkang akan terbabit dalam Majlis Pemulihan Negara (MPN) untuk memberikan pandangan dan cadangan penambahbaikan.

Tawaran ini dilihat hadir tepat pada masanya tatkala Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen Ke-14 berlangsung mulai 13 September (hari ini) hingga 12 Oktober depan. Tawaran kerajaan ini wajar dijadikan manifestasi penting untuk membina kerjasama rentas parti yang harmoni demi membina Keluarga Malaysia yang dapat menjalani kehidupan yang aman, selamat dan sejahtera.

Perpaduan antara ahli politik dengan meletakkan keutamaan kepada rakyat dan negara sangat penting kerana Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) yang bakal dibentangkan pada 27 September ini memerlukan sokongan padu semua anggota Dewan Rakyat. Ia berikutan RMKe-12 bakal memeta hala tuju negara dan rakyat, khususnya inisiatif untuk memulihkan ekonomi negara demi kelangsungan hidup pasca pandemik.

Maka besarlah harapan kita supaya pihak pembangkang akan meneliti dan menerima tawaran yang dikemukakan oleh pihak kerajaan agar agenda Transformasi Parlimen dan Pentadbiran dapat direalisasikan demi kemajuan negara dan rakyat. Sesungguhnya rakyat semakin penat dengan krisis politik yang melanda negara, justeru semua ahli politik perlu melakukan gencatan politik dan memberikan tumpuan untuk memulihkan semula negara daripada krisis kesihatan dan ekonomi yang semakin serius. Untuk itu, kita memerlukan sebuah kerajaan yang stabil dan kukuh serta pembangkang yang proaktif serta dapat melaksanakan tugas semak dan imbang secara matang dan profesional.

Malah, sidang Parlimen kali ini juga wajar dijadikan platform terbaik untuk menerangkan konsep sebenar frasa Keluarga Malaysia yang ditampilkan oleh Perdana Menteri. Buktikan kepada semua ia bukan retorik atau slogan politik semata-mata, sebaliknya gagasan penting untuk menyatupadukan seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira agama, bangsa dan ideologi politik.

Memandangkan ini kali pertama Ismail Sabri akan memasuki Parlimen sebagai Perdana Menteri, kita berharap semua Ahli Parlimen akan memberikan ruang yang secukupnya kepada kerajaan baharu ini mengemukakan cadangan dan melaksanakan transformasi yang dijanjikan. Ringkasnya, kita perlu berlaku adil dan tidak wajar menjatuhkan hukuman dengan terlalu cepat.

Harus diingat selepas lebih 400 tahun kita dijajah dengan rakus secara bersilih ganti, tempoh kemerdekaan 64 tahun ini bukanlah satu usia yang terlalu lama. Jujurnya, masih banyak lagi yang perlu dilakukan untuk kita memperkukuhkan kedudukan Keluarga Malaysia yang ada ini. Untuk itu, kita memerlukan ahli politik yang boleh bersatu padu, bekerjasama rentas parti dan ideologi serta beriltizam untuk membina dan membangunkan rakyat serta negara.

Hakikatnya, bukan mudah untuk membina dan mempertahankan keutuhan perpaduan dalam kalangan sebuah keluarga besar, iaitu masyarakat majmuk bernama Keluarga Malaysia yang berjiwa merdeka, boleh hidup harmoni dan bersatu padu serta sentiasa mengutamakan kepentingan negara. Cabarannya cukup kompleks kerana sedangkan lidah lagi tergigit, inikan anggota masyarakat yang terdiri daripada pelbagai latar belakang agama dan kaum.

Oleh itu, kita tidak mahu polemik politik terus memecah belahkan rakyat sebaliknya jadikan kerjasama politik atas semangat Keluarga Malaysia sebagai platform dan formula mujarab untuk terus memperkasakan perpaduan dalam kalangan rakyat.

Umum tidak meminta ahli politik mengangkat senjata mahupun mengorbankan jiwa dan raga untuk berperang mempertahankan kedaulatan negara daripada penjajah. Zaman itu sudahpun berlalu, justeru memadailah jika mereka sanggup mengorbankan ideologi parti masing-masing sekali gus bergabung tenaga mewujudkan kerjasama rentas parti demi membina semula negara dan rakyat yang terkesan teruk akibat pandemik.

Penulis pentadbir universiti dan penganalisis isu semasa

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 September 2021 @ 6:00 AM