ANGGOTA tentera menunjukkan jari yang dicelup dengan dakwat khas selepas membuang undi awal di Kem Segenting, Port Dickson. FOTO Azrul Edham
ANGGOTA tentera menunjukkan jari yang dicelup dengan dakwat khas selepas membuang undi awal di Kem Segenting, Port Dickson. FOTO Azrul Edham
Rafidah Mat Ruzki


Putrajaya: Sejumlah 94.72 peratus atau 212,961 pengundi awal keluar mengundi sehingga jam 5 petang tadi bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) dan Pilihan Raya Kecil (PRK) Bugaya di Sabah.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, mereka terdiri daripada anggota tentera, polis serta Pasukan Gerakan Am (PGA) dengan pasangan masing-masing melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai pengundi awal sejak jam 8 pagi tadi.

"SPR merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada semua Pegawai Pengurus Pilihan Raya dan pasukan kerana menjalankan tanggungjawab dengan amat baik pada hari ini.

"Penghargaan dan terima kasih juga diucapkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Majlis Keselamatan Negara (MKN), pihak berkuasa tempatan (PBT), Jabatan Penerangan Malaysia, media dan semua pihak yang terbabit secara langsung dan tidak langsung atas segala kerjasama dan sokongan yang diberikan kepada SPR," katanya dalam satu kenyataan media, malam ini.

Semalam, Ikmalrudin dalam satu kenyataan media, memaklumkan sejumlah 224,828 pengundi awal dijangka menunaikan tanggungjawab mereka di 578 Pusat Mengundi Awal.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 November 2022 @ 8:41 PM