Petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Malaysia membuat persiapan di Pusat Mengundi Awal di Dewan Utama Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor hari ini. FOTO Bernama.
Petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Malaysia membuat persiapan di Pusat Mengundi Awal di Dewan Utama Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor hari ini. FOTO Bernama.
Rafidah Mat Ruzki


Putrajaya: Sejumlah 224,828 pengundi awal akan menunaikan tanggungjawab mereka di 578 Pusat Mengundi Awal bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) dan Pilihan Raya Kecil (PRK) Bugaya, Sabah, esok.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Ikmalrudin Ishak, berkata mereka terdiri daripada 117,473 anggota tentera dan pasangan serta 107,355 anggota polis serta pasangan Polis Pasukan Gerakan Am (PGA).

Beliau berkata, Pusat Mengundi Awal yang ditetapkan SPR akan dibuka mulai jam 8 pagi hingga 5 petang.

"Namun, terdapat beberapa Pusat Mengundi Awal yang akan ditutup lebih awal.

"Oleh yang demikian, pengundi adalah dinasihatkan untuk membuat semakan maklumat pengundian melalui portal semakan di pautan https://mysprsemak.spr.gov.my atau dengan menghubungi Hotline SPR di

talian 03-88927018 atau 03-88880040.

"Mereka juga boleh membuat semakan melalui aplikasi MySPR Semak," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Ikmalrudin berkata, pengundi awal yang positif Covid-19 disaran berhubung terus dengan Pegawai Kesihatan Daerah bagi memudahkan urusan pengundian awal nanti.

Beliau berkata, proses pengundian awal itu akan disaksikan oleh ejen-ejen calon yang bertanding.

Katanya, SPR juga akan menyiarkan proses pengundian secara penstriman langsung menerusi akaun Facebook SPR di beberapa Pusat Mengundi Awal yang terpilih.

Pada masa sama, beliau berkata, kertas-kertas undi awal tidak akan dikira pada hari pengundian awal dan kesemua peti undi akan disimpan di lokap-lokap balai polis untuk jagaan selamat.

"Kertas-kertas undi itu hanya akan dikira pada 19 November, bermula jam 4 petang di tempat pengiraan undi yang ditetapkan SPR serta disaksikan oleh ejen-ejen calon masing-masing," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 November 2022 @ 10:01 PM