MASHITAH  (tengah) pada sidang media di Taman Restu, Jalan Batas Paip, Kuala Kedah. FOTO Zuliaty Zulkiffli
MASHITAH (tengah) pada sidang media di Taman Restu, Jalan Batas Paip, Kuala Kedah. FOTO Zuliaty Zulkiffli
Zuliaty Zulkiffli

Alor Setar: Masalah banjir kilat akibat fenomena air pasang besar yang kerap melanda kawasan Kuala Kedah boleh diatasi dengan pelaksanaan projek tebatan banjir bersepadu.

Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Kuala Kedah, Datuk Dr Mashitah Ibrahim berkata, beliau dimaklumkan projek itu sudah diluluskan kerajaan sebelum ini, tetapi belum dilaksanakan sehingga kini.

Berikutan itu, beliau akan melihat semula isu berkaitan projek tebatan banjir dan penyuraian air berkenaan yang perlu dilaksana segera bagi mengatasi masalah dialami penduduk sejak sekian lama.

"Di Kuala Kedah, kita berdepan dua masalah iaitu satu tempat tidak ada air, tetapi satu tempat lagi terlebih air sehingga kerap banjir kilat.

"Disebabkan itu, projek tebatan banjir perlu dilaksana segera bagi menyelenggara banjir, manakala pembinaan loji rawatan air baharu pula diperlukan bagi merawat air," katanya pada sidang media di sini, semalam.

Mashitah berkata, potensi Terminal Feri Kuala Kedah yang menjadi pintu masuk utama ke Langkawi juga perlu ditingkatkan bagi menjadikannya lokasi ekonomi utama penduduk.

Katanya, kawasan itu boleh dibangunkan dan dijadikan hab pelancongan kerana ia sudah mempunyai pelbagai kemudahan penting.

"Sejak lebih 30 tahun lalu, pelancong ke Langkawi perlu melalui Kuala Kedah, tetapi kerana kurangnya perancangan menyebabkan ramai yang lari ke Kuala Perlis.

"Kita perlu bangunkan semula terminal feri dengan kedai makan dan kedai hasil laut bagi menarik pelancong ke Kuala Kedah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 November 2022 @ 8:54 AM