Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: "Sepanjang lima jam berada dalam feri, saya berharap bantuan cepat sampai.

"Walaupun ada dua bot cuba rapat dengan feri kami untuk bantu tunda namun gagal berbuat demikian kerana kawasan itu berlumpur.

"Bagaimanapun sepanjang dalam feri, kami diberi makan dan minum oleh kru feri selain mereka juga cuba menenangkan kami," kata Farhanatul Alia Khairul Anuar, 26.

Farhanatul Alia yang mengandung lima bulan anak sulungnya berkata, kejadian berlaku jam 2.45 petang tadi ketika feri yang membawa 547 penumpang itu dalam perjalanan dari Pulau Langkawi ke Kuala Kedah tersadai dalam lumpur akibat air laut surut.

Dia yang juga pegawai awam dari Ibu Pejabat Maritim Negeri Pulau Pinang menemani ibunya, Siti Zaharah Ibrahim, 50, kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Baling yang berkursus di Langkawi sejak Jumaat lalu.

"Masa kejadian tu saya sedang menonton televisyen dan tiba-tiba feri berhenti. Kru datang suruh semua penumpang pakai jaket keselamatan.

"Waktu tu saya tak tahu apa yang berlaku sebab nampak air laut tengah surut. Saya panik sebab tengah mengandung," katanya ketika ditemui di Terminal Jeti Kuala Kedah, di sini hari ini.

Penumpang lain, Rosnani Saad, 34, dari Naka, Pokok Sena berkata, dia bersama empat anaknya mengikut suami yang mempunyai urusan di Langkawi sejak Jumaat lalu.

Katanya, sebaik dimaklumkan feri tersangkut dalam lumpur dan tidak dapat bergerak, dia bersama anak-anaknya berjalan ke luar di belakang feri kerana keadaan ketika itu sesak.

"Anak-anak saya dah menangis lapar dan kami diberi roti serta air untuk minum sementara menunggu bantuan sampai.

"Tiket dari Langkawi jam 1 petang dan sepatutnya tiba di Kuala Kedah jam 3 petang tapi disebabkan masalah yang dihadapi, kami sampai jam 8 malam," katanya.

Sementara itu, tinjauan di Terminal Feri Kuala Kedah setakat jam 8.30 malam mendapati, pasukan penyelamat sedang melakukan pemindahan mangsa dari feri menggunakan bantuan bot nelayan serta bot pasukan penyelamat.

Media sebelum ini melaporkan, feri yang membawa seramai 547 penumpang dan kru dari Pulau Langkawi ke Kuala Kedah terkandas dalam lumpur disebabkan air laut surut sekitar jam 3 petang.

SEBAHAGIAN penumpang feri Langkawi ke Kuala Kedah yang dibawa dengan bantuan  bot nelayan ke Terminal Feri Kuala Kedah. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI
SEBAHAGIAN penumpang feri Langkawi ke Kuala Kedah yang dibawa dengan bantuan bot nelayan ke Terminal Feri Kuala Kedah. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Oktober 2022 @ 9:42 PM