Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Dua wanita diarah berpatah balik dari Langkawi ke Terminal Feri Kuala Perlis semalam kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) dan didapati hanya mahu mencuba nasib.

Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, tindakan dua wanita itu ternyata sia-sia kerana polis melakukan pemeriksaan dan pematuhan SOP yang ketat di semua pintu masuk dan keluar ke pulau berkenaan.

Katanya, pihaknya mendapati dua wanita itu tidak mencukupi tarikh dua dos lengkap suntikan vaksin seperti yang ditetapkan kerana masing-masing masih mempunyai tiga hari lagi untuk capai tempoh matang untuk suntikan vaksin dos kedua.

"Mereka tahu tempoh matang dos vaksin belum cukup tapi nak masuk juga Langkawi.

"Sabar sajalah... dah cukup tempoh nanti datang la Langkawi tapi mereka nak cuba. Memang kita arahkan patah balik sajalah," katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, hari ini.

Hadir sama, Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Kedah, Senior Asisten Komisioner Alzafny Ahmad.

Selain itu, Kamarul Zaman turut menasihatkan orang ramai yang ingin ke Langkawi supaya tidak menjadikan perkara sama sebagai 'percubaan' ke pulau berkenaan.

Beliau berkata, ia bagi memastikan tidak merosakkan projek rintis gelembung pelancongan yang bermula sejak Khamis lalu.

"Begitu juga dengan pembukaan di Terminal Feri Kuala Kedah, Khamis ini. Harap jangan ada yang cuba nak masuk ke Langkawi sekadar cuba nasib.

"Pemantauan yang serius bukan saja dilakukan terhadap penumpang tapi terhadap kru atau pekerja dalam feri.

"Selain itu kita juga melakukan pemeriksaan terhadap kakitangan pusat peranginan serta hotel. Kita semak sijil digital vaksin bagi memastikan semuanya lengkap dua dos vaksin," katanya.

Kamarul Zaman turut menasihatkan pelancong yang bercuti di Langkawi mematuhi SOP yang ditetapkan bagi mengelakkan berlaku penularan jangkitan Covid-19.

Media sebelum ini melaporkan polis mengarahkan dua pelancong wanita yang mahu masuk ke Langkawi supaya berpatah balik ke Kuala Perlis, selepas mendapati suntikan dos vaksin Covid-19 mereka belum cukup tempoh matang 14 hari.

Wanita berusia 32 dan 35 tahun itu dikesan melakukan kesalahan terbabit ketika pemeriksaan polis ke atas semua penumpang yang baharu tiba di Terminal Feri Kuah pada 12 tengah hari, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 September 2021 @ 4:57 PM