Perkhidmatan feri dari Kuala Kedah ke Lamgkawi hanya beroperasi enam trip sehari disebabkan masalah air pasang surut dan pematuhan SOP bagi mengelak kesesakan. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI
Perkhidmatan feri dari Kuala Kedah ke Lamgkawi hanya beroperasi enam trip sehari disebabkan masalah air pasang surut dan pematuhan SOP bagi mengelak kesesakan. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI
Zuliaty Zulkiffli

Alor Setar: Perkhidmatan feri dari Kuala Kedah ke Langkawi di sini, hanya dibenarkan enam trip sehari berikutan fenomena air pasang surut selain mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi mengelak kesesakan.

Tinjauan di Terminal Feri Kuala Kedah hari ini mendapati, kebanyakan tiket feri ke Langkawi habis dijual pada waktu lebih awal dan pelancong sudah membuat tempahan secara dalam talian.

Bagaimanapun, ada sebahagian pelancong yang kecewa terutama yang mempunyai urusan ulang-alik dari Kuala Kedah ke Langkawi apabila perkhidmatan feri terhad setiap hari.

Pengarah Jabatan Laut Malaysia (JLM) Wilayah Utara, Mohd Hafiz Abdul Majid berkata, walaupun ada pengusaha feri memohon untuk penambahan feri berikutan permintaan pelancong ke Langkawi meningkat, namun perkara itu tidak dapat dielakkan.

Menurutnya, terdapat dua kekangan yang berlaku setakat ini iaitu fenomena air pasang surut yang berlaku selain jumlah kapasiti ruang menunggu penumpang di Terminal Kuala Kedah hanya dihadkan kepada 500 penumpang sahaja.

"Saya perlu kawal kesesakan di Terminal Feri Kuala Kedah dan kalau saya benarkan banyak feri beroperasi, mungkin akan berlaku kesesakan dan SOP sukar dipatuhi.

"Bagaimanapun, saya akan menyusun atur semula jadual perjalanan feri bagi mengelakkan berlaku kesesakan di ruang terminal feri selain masalah air pasang surut," katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd Hafiz berkata, setakat ni hanya enam trip dari Kuala Kedah ke Langkawi boleh dilakukan sehari disebabkan berlakunya air pasang surut.

Beliau berkata, walaupun sekarang ini gelembung pelancongan yang menggalakkan pelancong ke Langkawi namun masalah air surut tidak dapat dielakkan.

"Feri hanya dibenarkan beroperasi ketika waktu air pasang setiap hari dan feri boleh bergerak ketika air pasang iaitu 1.5 meter ke atas dan sekiranya air laut di bawah paras 1.5 meter, kita memang tak benarkan feri bergerak kerana ia boleh mengundang risiko terhadap feri dan penumpang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Mac 2021 @ 1:39 PM