Gambar hiasan. FOTO Arkib NSTP.
Gambar hiasan. FOTO Arkib NSTP.
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Sejumlah 1,394 petugas kesihatan akan bertugas di kaunter kesihatan di 667 pusat mengundi di Kedah pada hari mengundi bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), Sabtu ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Dr Mohd Hayati Othman berkata, penugasan itu bagi membantu pengundi yang positif Covid-19 menunaikan tanggungjawab dan meminimumkan pendedahan kepada orang ramai.

Katanya, pengundi berkenaan perlu memaklumkan serta menunjukkan status MySejahtera kepada petugas kesihatan di pintu masuk pusat mengundi.

"Mereka akan diiringi oleh petugas kesihatan sehingga ke pintu masuk saluran mengundi yang ditetapkan.

"Pengundi yang positif Covid-19 diwajibkan untuk sentiasa memakai pelitup muka, kecuali semasa proses pengenalan diri kepada petugas pilihan raya," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Dr Mohd Hayati berkata, pengundi yang positif Covid-19 juga perlu mencuci tangan menggunakan pensanitasi tangan sebelum dan selepas mencelup jari ke dalam dakwat.

Katanya, selepas mengundi, pesakit itu perlu segera meninggalkan pusat mengundi bagi mematuhi Perintah Pengawasan dan Pengasingan (HSO).

Pengundi lain juga dinasihat agar sentiasa memakai pelitup muka, kerap mencuci tangan dan mengamalkan penjarakan fizikal semasa di dalam dan sekitar pusat mengundi, terutama mereka yang berumur melebihi 50 tahun, ibu hamil dan berpenyakit kronik.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 November 2022 @ 6:39 PM