SHAMSHULKAHAR berkempen di sekitar Parlimen Jempol. FOTO Abnor Hamizam Abd Manap.
SHAMSHULKAHAR berkempen di sekitar Parlimen Jempol. FOTO Abnor Hamizam Abd Manap.
Abnor Hamizam Abd Manap


Jempol : Pengundi di tanah rancangan Felda akan menjadi penentu kemenangan Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Jempol pada Pilihan Raya Umum ke - 15 ( PRU-15)

Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Jempol, Datuk Shamshulkahar Mohd Deli berkata Parlimen Jempol mempunyai tanah rancangan Felda paling banyak di negeri ini dan ia sekaligus tidak menolak pengundi di tanah rancangan berkenaan antara penentu kemenangan BN dalam PRU-15 membabitkan pertembungan empat penjuru.

Katanya secara tradisi pengundi Felda sentiasa memberikan sokongan kepada BN setiap kali pilihan raya diadakan.

"Hampir 65 peratus pengundi di Parlimen Jempol terdiri daripada warga Felda membabitkan 28 tanah rancangan Felda, "katanya ditemui di Bilik Gerakan BN Taman Tuanku Puan Chik di sini hari ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Serting berkata antara fokus yang lain termasuklah menyediakan rumah mampu milik sekiranya diberi mandat sebagai Ahli Parlimen.

"Bagi saya, fokus untuk menyediakan rumah mampu milik ini adalah keperluan mendesak kerana kita tahu harga rumah agak tinggi dan ia amat penting terutama kepada generasi baharu.

"Selain itu, ketika BN memerintah dulu, kita bercadang untuk membina Lebuh Raya Seremban - Jempol namun terhenti sebaik PH mengambil alih kerajaan negeri dan ia akan diperjuangkan semula sekiranya diberi mandat oleh rakyat, "katanya.

Shamshulkahar berkata pembinaan lebuh raya itu boleh memberi pulangan ekonomi kepada penduduk setempat selain memendekkan masa perjalanan dari Jempol ke Seremban dan sebaliknya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 November 2022 @ 4:15 PM