PAKAR dari pejabat Thales sedang melakukan pemeriksaan di pusat operasi (OCC) Prasarana Malaysia Berhad sejurus tiba dari Kanada. FOTO  AZLAN HADI ABU BAKAR
PAKAR dari pejabat Thales sedang melakukan pemeriksaan di pusat operasi (OCC) Prasarana Malaysia Berhad sejurus tiba dari Kanada. FOTO AZLAN HADI ABU BAKAR
Nas Norziela Nasbah

Kuala Lumpur: Perincian masalah gangguan pada sistem Kawalan Tren Automatik (ATC) perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Kelana Jaya, semalam akan diketahui selepas pakar teknikal menjalankan pemeriksaan.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong memaklumkan pakar dari pejabat Thales sedang melakukan pemeriksaan di pusat operasi (OCC) Prasarana Malaysia Berhad sejurus tiba dari Kanada, hari ini.

Menurutnya, pihaknya turut dimaklumkan mengenai pakar dari Singapura juga tiba semalam, dan memulakan pemeriksaan mereka.

"Saya akan mendapatkan perincian lanjut berhubung masalah yang berlaku selepas pakar selesai melakukan pemeriksaan mereka.

"Saya akan melawat OCC LRT Laluan Kelana Jaya dan akan memaklumkan perkembangan berhubung perkara ini dari semasa ke semasa," katanya menerusi muat naik di Facebook rasminya, hari ini.

Semalam, Rapid KL memaklumkan penggantungan operasi perkhidmatan LRT di 16 stesen bermula Stesen Kelana Jaya hingga Stesen Ampang Park sehingga 15 November ini berikutan masalah sistem ATC.

Berikutan itu, kira-kira 200,000 pengguna yang terjejas terpaksa beralih kepada mod pengangkutan lain untuk urusan harian menyebabkan aliran lalu lintas di ibu kota agak sesak pada waktu puncak.

Mengulas lanjut, Ka Siong berkata, pihaknya sudah mengarahkan Prasarana supaya memastikan urusan orang ramai berjalan dengan baik sepanjang tempoh berkenaan.

"Setakat pagi tadi, keadaan terkawal di kebanyakan kawasan tumpuan seperti Masjid Jamek (Kuala Lumpur). RapidKL dalam kenyataan media turut akan mengambil langkah tambahan bagi kemudahan orang ramai.

"Rapid Bus akan menambah 40 bas perantara percuma untuk membawa penumpang yang terjejas menerusi kerjasama dengan Smart Selangor dan Mara Liner untuk menyediakan masing-masing 20 bas di bawah kendalian mereka.

"Buat masa ini, pihak Rapid Bus menyediakan sebanyak 83 bas bagi menampung jumlah penumpang yang tinggi. Jumlah bas perantara kepada lebih 120 buah itu adalah bagi menampung penumpang di lima laluan seperti disiarkan di media sosial Rapid KL," katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau mengucapkan terima kasih atas kesabaran orang ramai.

"Kami akan melakukan sehabis baik untuk menyelesaikan masalah ini dengan segera dan akan memaklumkan perkembangan berhubung perkara ini dari semasa ke semasa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 November 2022 @ 4:11 PM