Mohd Rafi Mamat

Image

Pekan: Calon Parlimen Pekan dari Barisan Nasional (BN) Kerusi Parlimen Pekan Datuk Seri Sh Mohmed Fuzi Sh Ali berdepan persaingan lima penjuru pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU 15).

Kerusi berkenaan yang dikosongkan sebelum ini disandang bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Sh Mohamed Puzi yang juga penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Peramu Jaya selama dua penggal dicabar Mohd Naim Zainal Abidin (PH-PKR), Tengku Datuk Zainul Hisyam Tengku Hussin (Bebas),

Datuk Mohammad Radhi Abdul Razak (GTA/Pejuang) dan Mohd Fadhil Noor Abdul Karim yang mewakili PN-PAS.

Pengumuman rasmi senarai calon itu dilakukan Pengarah Pilihan Raya Bahagian Pekan, Datuk Zaliza Zulkipli di Dewan Konvensyen Sultan Haji Ahmad Shah, di sini hari ini.

Kira-kira 4,000 penyokong parti bertanding berkumpul di dewan berkenaan sejak jam 7 pagi tadi.

Sementara itu, empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah Parlimen Pekan pula menyaksikan pertandingan tiga penjuru.

Kerusi DUN Pulau Manis menyaksikan penyandangnya, Datuk Khairuddin Mahmod (BN) dicabar calon Mohammad Rafiq Khan Ahmad Khan (PN-PAS) dan Muhammad Khairil Khalid (PH-DAP).

Untuk kerusi DUN Peramu Jaya pula anak bekas Ahli Parlimen Pekan (Najib), Datuk Mohd Nizar Najib dicabar oleh Abu Talib Muhammad (PN-Bersatu) dan Tugimon Abdul Hamid (PH-Amanah) dan Tengku Datuk Zainul Hisyam Tengku Hussin (Bebas).

Kerusi DUN Bebas, BN diwakili penyandang kerusi itu, Datuk Mohd Fakhruddin Mohd Ariff berdepan calon

PN-Bersatu, Narzatul Haidar Sakim dan Ibrahim Sulaiman (PH-Amanah).

Bagi kerusi DUN Chini, penyandangnya, Mohd Sharim Md Zain bakal dicabar Fahrur Rozi Jalaluddin (PN-PAS) dan Mohamad Yazid Che Mat (PH-PKR).

Proses penamaan calon hari ini berjalan lancar tanpa berlaku sebarang kejadian tidak diingini, penyokong parti mematuhi peraturan ditetapkan pihak berkuasa.

Cuaca hujan tidak mematahkan semangat penyokong memberi sokongan kepada calon masing-masing.

(kanan) Sh Mohmed Fuzi, Mohd Naim, Tengku Zainul Hisham, Mohammad Radhi dan Mohd Fadhil Noor. FOTO FARIZUL HAFIZ AWANG
(kanan) Sh Mohmed Fuzi, Mohd Naim, Tengku Zainul Hisham, Mohammad Radhi dan Mohd Fadhil Noor. FOTO FARIZUL HAFIZ AWANG

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 November 2022 @ 3:45 PM