PANEL pengurusan kubur lama mengambil serpihan tulang untuk dikafankan sebelum dikebumi kembali. FOTO NURALIAWATI SABRI.
PANEL pengurusan kubur lama mengambil serpihan tulang untuk dikafankan sebelum dikebumi kembali. FOTO NURALIAWATI SABRI.
Nuraliawati Sabri


Melaka: Kubur berusia 200 tahun antara 14 kubur lama di Solok Bukit Jinjang, Kandang, yang selamat dipindahkan, ke lokasi baharu, semalam.

Pegawai Seksyen Mal, Majlis Agama Islam Melaka (Maim), Mohd Aisamuddin Abdul Hamid berkata, proses pemindahan itu dibuat selepas pihaknya menerima permohonan daripada pemilik tanah.

Beliau berkata, dipercayai, kubur berkenaan tiada waris selepas beberapa kali hebahan dibuat di masjid kariah kampung berkenaan ketika solat Jumaat, namun tiada individu yang tampil.

"Berdasarkan permohonan, dimaklumkan terdapat 12 kubur, namun selepas siasatan dijalankan, kita dapati terdapat 14 (kubur) kesemuanya iaitu empat (kubur) wanita dan bakinya (kubur) lelaki.

"Proses pemindahan dibuat dengan serpihan kecil tulang diambil dan dikafankan balik sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kariah Masjid As Salimin, Kampung Kandang," katanya.

Menurutnya, proses pemindahan kubur itu dibuat selepas mendapat kebenaran dan kelulusan dari Jabatan Mufti Melaka, selain proses pemindahan turut membabitkan beberapa agensi termasuk Kementerian Kesihatan Malaysia dan polis.

"Berdasarkan batu nisan ditemukan, kita percaya kubur lama ini berusia antara 100 hingga 200 tahun.

"Setiap kubur yang digali kita akan buat penandaan bersama dengan batu nisan kerana batu itu akan digunakan kembali di kubur baharu," katanya.

Ujarnya, beberapa pendekatan diambil bagi mengenal keberadaan serpihan tulang antaranya kedudukan anai-anai serta bau tanah.

"Kebiasaan kita akan gali antara dua atau tiga kaki sahaja. Sudah pasti dengan tempoh ratusan tahun kesemuanya sudah hancur yang tinggal hanya serpihan kecil sahaja untuk itu kita kesan di mana anai-anai atau hidu bau tanah, kalau 'wangi' itulah lokasinya.

"Sebenarnya, kalau waktu malam usaha melihat serpihan tulang lagi mudah kerana ia akan ada cahaya yang timbul," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 November 2022 @ 10:26 AM