WILLEY (tengah) menunjukkan pistol angin dan peluru yang dirampas. FOTO Fardy Bungga
WILLEY (tengah) menunjukkan pistol angin dan peluru yang dirampas. FOTO Fardy Bungga
Oleh Fardy Bungga


Kajang: Wanita berusia 33 tahun ditahan selepas polis menemui dadah jenis estacy dan ketamin seberat 171.90 gram bersama pistol angin serta enam peluru dalam serbuan di rumahnya di Taman Damai Perdana, Batu 9, Cheras, semalam.

Serbuan kira-kira 4 petang itu dijalankan hasil risikan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Kajang yang mengesan kegiatan suspek mengedar dadah di kawasan daerah ini sejak empat bulan lalu.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Willey Richard berkata, hasil siasatan awal, suspek yang tidak bekerja mempunyai rekod ditangkap bersabit kes dadah mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Menurutnya, ketika diserbu, semua dadah terbabit ditemui di dalam beg sandang berwarna hitam yang mengandungi tiga paket serbuk dadah seberat 94.40 gram dan tujuh paket plastik berisi 262 pil seberat 77.20 gram serta satu paket berisi hablur disyaki ketamin seberat 11.70 gram.

"Suspek akan ditahan reman untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960," katanya pada sidang media di pejabatnya, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Oktober 2015 @ 1:39 PM