Zuhainy Zulkiffli

Georgetown: Seramai 27 penghuni Wisma Yatim Perempuan Islam Pulau Pinang, di Jalan Scotland, di sini, yang terselamat dalam kejadian bumbung runtuh sudah dipindahkan sementara ke Wisma Yatim Laki-laki Islam Pulau Pinang, Air Itam.

Tiga mangsa cedera, Nur Jannah Motaleb, 8, Nur Batrisya Balqis Mohd Raffei, 10, dan Siti Syahirah Zulkipli, 13, kini stabil dan masih menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP).

Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, kesemua penghuni terselamat dibawa ke Wisma Yatim Laki-laki Islam Pulau Pinang dengan menaiki kenderaan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pulau Pinang.

Katanya, seramai sembilan daripadanya menduduki peperiksaan percubaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), hari ini.

"Mangsa yang berusia lapan tahun mengalami cedera, mangsa berusia 10 tahun mengalami sakit leher, manakala seorang lagi berusia 13 tahun mengadu sakit pada bahagian belakang dan mereka mungkin akan menjalani pemeriksaan lanjut bagi memastikan tiada kecederaan dalaman.

"Asrama berkenaan menempatkan seramai 30 anak yatim meliputi kanak-kanak darjah satu hingga tingkatan enam (tujuh hingga 18 tahun)," katanya ketika ditemui di lokasi, malam tadi.

KEADAAN bumbung Wisma Yatim Perempuan Islam Pulau Pinang, Jalan Scotland yang runtuh menyebabkan tiga penghuni cedera. FOTO Zuhainy Zulkiffli
KEADAAN bumbung Wisma Yatim Perempuan Islam Pulau Pinang, Jalan Scotland yang runtuh menyebabkan tiga penghuni cedera. FOTO Zuhainy Zulkiffli

Mengulas lanjut Soffian berkata, siasatan awal mendapati, runtuhan itu membabitkan struktur bumbung di asrama di bahagian tempat tidur.

Katanya pada waktu kejadian, hanya ada tiga mangsa berkenaan sedang berehat, manakala sebahagian lain sedang tuisyen dan mengambil makanan.

"Ketika pihak bomba dan polis tiba, kesemua mangsa sudah diselamatkan oleh warden dan penghuni lain sebelum tiga yang cedera dibawa ke hospital dengan menaiki ambulans.

"Setakat ini, kita dapati kejadian tidak membabitkan unsur khianat namun siasatan masih dilakukan dan wisma ini ditutup sementara bagi siasatan untuk mengenal pasti punca kejadian," katanya lagi.

Berita berkaitan

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 November 2022 @ 8:08 AM