Rosman Shamsudin


Tapah: Tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat bermain, kata calon baharu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Muhammad Yadzan Mohammad, 56, yang mewakili Perikatan Nasional (PN) bagi Parlimen Tapah dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 ( PRU-15).

Muhammad Yadzan berkata sebenarnya, Tapah bukanlah tempat asing atau baharu baginya kerana dilahirkan di Kampung Lubuk Katak, Tapah.

Katanya, dia bersyukur kerana diberi peluang oleh pucuk pimpinan parti untuk bertanding di Parlimen berkenaan apatah lagi di tempat kelahiran sendiri.

"Mungkin atau ada segelintir pengundi menganggap saya calon kayangan atau payung terjun untuk mewakili PN di Parlimen Tapah dalam PRU-15.

"Saya bukanlah calon yang dianggap sedemikian tetapi saya adalah anak jati di Parlimen ini," katanya ketika ditemui semasa mengunjungi kampung kelahirannya dan bertemu dengan emak saudaranya, Zainab Abd Hamid, 80, di Kampung Lubuk Katak, dekat sini.

Difahamkan, datuk beliau, Allahyarham Datuk Abd Hamid Jamaludin juga adalah bekas ketua kampung berkenaan.

Sebelum ini, beliau juga pernah terbabit dalam Misi Kemanusiaan ke Syria, Palestin, Somalia dan Misi Bantuan Kemanusiaan kerajaan Malaysia untuk mangsa banjir di Pakistan.

Beliau yang juga Presiden Persatuan Bolasepak Perak (PAFA) berkata, kawasan Tapah sendiri mempunyai banyak destinasi ekopelancongan yang boleh dimasukkan dalam Pelan Ekopelancongan Kebangsaan 2016-2025 yang boleh mengangkat Tapah sebagai salah satu destinasi pilihan.

"Kawasan Lata Kinjang, Lata Iskandar dan Hutan Rekreasi Kuala Woh antara kawasan ekopelancongan yang amat popular di negara ini terletak di Tapah dan jika ia dimajukan dengan lebih terancang maka ia bakal memberi impak ekonomi kepada penduduk.

"Sungai Tapah yang mengalir ke lembangan Sungai Perak dalam daerah Kinta, Perak dikenal pasti sebagai sungai paling bersih di negara ini juga aset ekopelancongan yang boleh diketengahkan.

"Jalan Tapah-Cameron Highlands yang dahulunya menjadi jalan utama ke tanah tinggi berkenaan boleh dibangunkan secara berperingkat supaya penduduk yang tinggal berhampiran jalan terbabit termasuk kawasan sekitar mendapat manfaat," katanya.

Muhammad Yadzan berkata kawasan Parlimen ini mempunyai kira-kira 9,000 pengundi terdiri Orang Asli dan beliau berazam akan meningkatkan taraf hidup, ekonomi, pendidikan dan mewujudkan peluang pekerjaan terutama kepada golongan muda Orang Asli.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 November 2022 @ 3:35 PM
Muhammad Yadzan (kanan) memohon restu daripada emak saudaranya, Zainab Abd Hamid ketika mengunjungi kampung kelahirannya, Kampung Lubuk Katak. FOTO ROSMAN SHAMSUDIN.
Muhammad Yadzan (kanan) memohon restu daripada emak saudaranya, Zainab Abd Hamid ketika mengunjungi kampung kelahirannya, Kampung Lubuk Katak. FOTO ROSMAN SHAMSUDIN.