Rosman Shamsudin

Tapah: "Walaupun sedih kerana sudah masuk kali kedua tak dapat beraya dengan anak dan cucu, saya reda dengan ketentuan Tuhan," kata seorang penduduk Kampung Lubuk Katak, Wazir Mohd Said, 63, selepas kampung berkenaan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) mulai semalam sehingga 20 Mei ini.

Menurutnya, dua orang anak dan empat cucunya tinggal di Kuala Lumpur, manakala dia dan isterinya, Juriah Rasid, 64, bersama abang ipar serta anak saudara tinggal serumah di kampung berkenaan.

Katanya, sejak larangan rentas negeri dikuatkuasakan kerajaan bagi mengekang penularan pandemik Covid-19 hanya telefon digunakan bagi mengubat kerinduan kepada mereka yang jauh di perantauan.

"Tahun ini sambutan hari raya lagi berbeza dari tahun lalu kerana tahun lalu dapat juga saya keluar beli barang untuk membuat persiapan dan biasanya tiga hari sebelum raya barulah saya pergi ke kedai untuk beli barang.

"Kali ini, nak keluar rumah pun tak boleh apatah lagi nak ke pekan beli barang, saya akur dan terima kerana ini sudah takdir Tuhan," katanya ketika ditemui di rumahnya.

Wazir dan Juriah di rumahnya di Kampung Lubuk Katak dekat Tapah yang dilaksanakan PKPD hingga 20 Mei ini. Foto Rosman Shamsudin
Wazir dan Juriah di rumahnya di Kampung Lubuk Katak dekat Tapah yang dilaksanakan PKPD hingga 20 Mei ini. Foto Rosman Shamsudin

Kampung berkenaan yang sebelum ini meriah dengan penduduk menjalani kehidupan seharian menjadi sunyi kerana semua penduduk didapati berkurung dalam rumah.

Hanya petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang kelihatan bergerak ke rumah penduduk bagi menjalankan ujian calitan Covid-19 dan rondaan anggota polis bagi memastikan penduduk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) PKPD.

Seorang lagi penduduk, Nor Baizura Mohd Zaini, 39, pula berkata, walaupun dia sudah membuat persiapan hari raya namun sedih kerana hanya mampu menyambutnya di dalam rumah sahaja.

Katanya, dia sudah membelanjakan kira-kira RM500 untuk membeli stok makanan kering dan basah termasuk persiapan menyambut hari raya nanti.

"Apa boleh buat, mahu tak mahu kena lalui juga situasi ini namun saya bersyukur kerana masih dapat beraya bersama anak dan suami walaupun di dalam rumah sahaja.

"Biasanya, pada hari raya pelbagai juadah dapat disediakan tetapi tahun ini bergantung kepada bekalan makanan yang ada supaya kami sekeluarga dapat mengharungi PKPD dengan tenang," katanya.

Nor Baizura berkata, dia sebelum ini sering mengambil tempahan katering daripada penduduk setempat namun apabila PKPD dilaksanakan di kampung ini menyebabkannya terpaksa membatalkan tempahan berkenaan.

Katanya, dia berharap dan mendoakan agar keluarga dan penduduk kampung berkenaan bebas daripada pandemik Covid-19.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Mei 2021 @ 10:43 AM