YENNY mengusap kepala Moana.
YENNY mengusap kepala Moana.
Syanty Octavia Amry

Kuala Lumpur: Nasibnya tidak sama seperti bayi baru lahir yang lain. Kini pada usianya lebih tiga bulan, Moana terpaksa bertarung nyawa dan menetap di hospital akibat masalah komplikasi jantung.

Moana memerlukan RM80,000 untuk melakukan tiga pembedahan terhadap penyakitnya itu.

Tiga pembedahan itu bagi menutup jantungnya yang berlubang, memperbetulkan saluran darah di kiri dan kanan serta menyatukan saluran darah tambahan.

Berkongsi perkara itu, ibu Moana, Yenny Fezlynne Suali, 23, berkata, ketika mengandungkan Moana dia tidak mengalami sebarang masalah.

Malah sepanjang kehamilan, kandungannya sentiasa berada dalam keadaan baik.

“Pada hari pertama melahirkan Moana, doktor mula mengesan masalah pernafasannya.

“Selepas melakukan pemeriksaan menyeluruh doktor mengesahkan terdapat beberapa masalah di bahagian jantung Moana.

“Sejak itu Moana terpaksa ditahan di hospital dan saya belum berpeluang membawanya pulang ke rumah,” katanya.

Yenny yang juga ibu tunggal berkata, dia juga tidak dapat memberikan susu badan berikutan keadaan Moana yang semakin kritikal.

“Saya sangat berharap orang ramai sudi menghulurkan bantuan membiayai kos pembedahan Moana.

“Pastinya saya mahu melihat dia melalui kehidupan normal sama seperti bayi yang lain,” katanya.

Yenny yang bekerja di hotel di Kota Kinabalu, Sabah, terpaksa mengambil cuti tanpa gaji selama sebulan bagi menjaga Moana yang kini ditempatkan di Hospital Gleneagles, Kuala Lumpur.

Orang ramai boleh menghulurkan bantuan menerusi Tabung Kemanusiaan Media Prima-NSTP (Media Prima-NSTP Humanitarian Fund) di akaun Maybank 5141-0532-3170.

Bagi yang ingin memberikan sumbangan melalui cek, tulis nama pesakit di belakang cek dan dihantar ke Media Prima Berhad, Jabatan Komunikasi Korporat Kumpulan, Tingkat 3, Anjung Liku Balai Berita, 31, Jalan Riong, 59100 Kuala Lumpur.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Oktober 2018 @ 12:14 PM