Nor Akmar Samudin


KANAK-KANAK berusia empat tahun yang mengalami masalah jantung berlubang sejak dilahirkan, perlu menjalani pembedahan segera.

Ibu Nur Humayra Mohd Zaki, Haliza Ismail, 44, berkata, Humayra membesar sebagai kanak-kanak yang aktif, namun cepat berasa keletihan, sering demam, batuk dan sesak nafas.

Kesan lain daripada penyakit yang dihidapinya itu, Humayra mengalami masalah tumbesaran dengan berat badannya sekarang hanya 12 kilogram tidak sepadan dengan usianya.

Humayra juga diklasifikasikan orang kurang upaya (OKU) menghadapi masalah pembelajaran.

“Ada tiga lubang di jantungnya dan satu saluran darah ke paru-paru, tersumbat.

“Sejak bayi keadaan kesihatannya tidak menentu dan setiap bulan kami terpaksa membawanya mendapatkan rawatan di hospital,” kata Haliza yang ditemui di Gleneagles Kuala Lumpur, hari ini.

Katanya, Humayra sepatutnya perlu dibedah lebih awal namun disebabkan kekangan kewangan, pembedahan itu tidak dapat dilakukan.

Haliza yang juga suri rumah berkata, suaminya, Mohd Zaki Jaafar, 52, hanya bekerja kampung di Kampung Aril Pauh Lima, Kota Bharu, Kelantan.

Kata Haliza, mereka dimaklumkan Humayra yang juga anak bongsu daripada sembilan beradik perlu segera dibedah bulan lalu, namun mereka bimbang dengan kos pembedahan sebanyak RM60,000.

Bagaimanapun, dia dan suami lega apabila menerusi usaha Gleneagles Kuala Lumpur dan Media Prima-NSTP Humanitarian Fund, Humayra dijangka dapat dibedah segera di hospital terbabit.

“Humayra kini dimasukkan ke wad dan dipantau rapi sebelum menjalani pembedahan pada masa terdekat,” katanya yang hampir seminggu berada di Kuala Lumpur ditemani anak keduanya, Nur Syafika, 23.

Suaminya tidak dapat datang kerana menguruskan empat anak yang bersekolah.

Kepada orang ramai yang mahu membantu kanak-kanak ini, mereka boleh menyalurkan sumbangan menerusi Media Prima-NSTP Humanitarian Fund melalui akaun Maybank 5141-0532-3170 atau cek dengan menulis nama pesakit di belakang cek.

Cek dialamatkan ke Media Prima Bhd, Jabatan Komunikasi Korporat Kumpulan, Tingkat 3, Anjung Liku, Balai Berita, 31, Jalan Riong, 59100 Bangsar, Kuala Lumpur.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Oktober 2019 @ 2:22 PM
PESAKIT jantung berlubang, Nur Humayra Mohd Zaki (kanan) bersama ibunya Haliza Aril di Gleneagles Kuala Lumpur. FOTO Rohanis Shukri
PESAKIT jantung berlubang, Nur Humayra Mohd Zaki (kanan) bersama ibunya Haliza Aril di Gleneagles Kuala Lumpur. FOTO Rohanis Shukri