MAHDZIR Khalid menyerahkan sumbangan kepada wakil pelbagai kelab dibawah Pejabat Daerah Padang Terap di Dewan Tunku Putra di sini, hari ini. FOTO Noorazura Abdul Rahman
MAHDZIR Khalid menyerahkan sumbangan kepada wakil pelbagai kelab dibawah Pejabat Daerah Padang Terap di Dewan Tunku Putra di sini, hari ini. FOTO Noorazura Abdul Rahman
Noorazura Abdul Rahman


Kuala Nerang: Kepimpinan UMNO termasuk yang digugurkan daripada senarai calon Barisan Nasional (BN) perlu terus berada dalam saf sebagai satu pasukan untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata dalam pilihan raya adalah perkara biasa sekiranya terdapat nama baharu serta nama lama yang dicalonkan dan ada juga pemimpin lama yang tidak disenaraikan semula.

"Kepimpinan UMNO di semua peringkat perlu berada dalam saf kepimpinan parti untuk meneruskan PRU15 atas pasukan BN.

"Bukan saja UMNO tapi parti lain pun ada perkara yang sama (pimpinan yang digugurkan dari senarai calon). Jadi kita kena cari jalan macam mana nak selesaikan," katanya ketika ditemui selepas Program Pemantapan Sahsiah Diri di Dewan Tunku Putra di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai tindakan sebilangan kepimpinan UMNO yang digugurkan dari senarai calon dijangka bertanding di atas tiket parti lain seterusnya bertembung dengan calon BN sendiri pada PRU15.

Media sebelum ini melaporkan empat menteri Barisan Nasional (BN) di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob digugurkan sebagai calon PRU15.

Mereka adalah Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim (Arau); Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa (Ketereh); Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Adham Baba (Tenggara); dan Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique (Kota Tinggi).

Semalam Shahidan mengesahkan akan meneruskan hasrat bertanding di Parlimen Arau dalam PRU kali ini namun belum membuat keputusan untuk bertanding atas tiket parti tertentu namun memberi bayangan memilih parti yang bergerak ke arah Muafakat Nasional bersama PAS dan BERSATU.

Mahdzir berkata pimpinan terbabit diharap tidak terlalu memikirkan perkara yang boleh merosakkan atau menjejaskan BN itu sendiri di kemudian hari.

#kw UMNO, BN, calon, gugur, saf, PRU15, Mahdzir Khalid, Kuala Nerang

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 November 2022 @ 12:51 PM